DARI SITIAWAN KE BANGI
Butiran
| Pengarang | : Ding Choo Ming |
| Penerbit | : Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) |
| Tahun | : 2013 |
| Jumlah Halaman | : |
| Rujukan/Muat Turun | : Klik di sini |
Ringkasan
Dalam kumpulan esei yang dibukukan untuk pertama kali ini saya telah berkongsikan serpihan kisah saya mempelajari Bahasa Melayu di bangku sekolah rendah di kampung saya, Pekan Gurney, Sitiawan, sehinggalah sekarang di satu pihak dan juga berkongsikan beberapa pemerhatian saya tentang perkembangan Bahasa Melayu dari dahulu sampailah sekarang – dengan sesetengahnya saya dapati daripada pembacaan, manakala yang lain didapati daripada penyelidikan saya – di satu pihak yang lain.
Walaupun kedua-dua ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah serta sebahagian besar penerbitan saya selama ini adalah tentang pengajian manuskrip Melayu, tetapi minat saya terhadap bahasa Melayu yang saya cintai dan asuh sejak Sekolah Menengah Nan Hwa, Kampung Koh, Sitiawan telah meningkat dari semasa ke semasa. Saya masih pembaca akhbar Berita Harian, mendengar siaran radio dalam bahasa Melayu, malahan masih membina koleksi buku Melayu peribadi di rumah saya, walaupun 90% koleksi buku peribadi saya yang sudah dibina sejak tahun 70an itu sudah saya hadiahkan ke Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM, pada November 2011. Peningkatan minat itu juga disebabkan sifat-sifat Bahasa Melayu yang ternyata mempunyai kehebatan, keindahan dan keistimewaannya setanding dengan bahasa Cina, Perancis, Jerman dan Inggeris, sama ada sebagai lingua franca, bahasa perpaduan, bahasa ilmu, bahasa sains dan bahasa teknologi dan sebagainya.
Sehubungan perkembangan bahasa Melayu, saya cukup kagum dengan sumbangan yang telah ditinggalkan ratusan pegawai tadbir, pakar, sarjana, pengarang di pelbagai bidang tidak kira dari dunia Barat, Timur atau Alam Melayu dalam pendokumentasian, perkamusan, penulisan, penerbitan dan lain-lain sejak kurun ke 16. Walaupun sudah dijamin perlembagaan dan akta bahasa tentang kedudukan dan martabatnya di Malaysia sekarang, tetapi cabaran terhadap Bahasa Melayu pada masa depan bukanlah datangnya daripada tarikan orang di seluruh dunia bahasa Inggeris, tetapi juga penglibatan rakyat Malaysia sendiri seperti yang dibincangkan dalam makalah Cabaran Bahasa Melayu di Era Ekonomi Teknologi Tinggi.
ISBN: 978-983-2457-64-0