Buku ini berkisar tentang tahap jati diri bahasa Melayu (BM) Generasi Z dalam era IR4.0. Jati diri merujuk kepada identiti atau sifat yang membezakan seseorang atau sesuatu kelompok daripada yang lain. Dalam konteks negara bangsa, jati diri menjadi teras kepada pembentukan kemajuan sosial dan kebudayaan. Salah satu komponen utama yang membentuk jati diri sesebuah masyarakat ialah bahasa. Justeru, sebagai penerus kelangsungan BM, Gen Z seharusnya mempunyai jati diri BM yang tinggi agar dapat menjunjung kedaulatan BM- pada masa akan datang. Komponen jati diri yang dibincangkan dalam buku ini meliputi sikap, persepsi, penghayatan dan pengamalan BM. Gabungan analisis kuantitatif dan kualitatif dimanfaatkan bagi memberikan maklumat dan data yang sahih serta autentik untuk dijadikan rujukan pada masa akan datang. Buku ini asalnya adalah daripada penyelidikan Jati Diri Bahasa Melayu Generasi Z: Analisis Sosiokognitif yang dimanifestasikan dalam tesis Ph.D dan sesuai dibaca oleh pengkaji Bahasa.