Admission: admission_gsb@ukm.edu.my   | September Intake 2022: Apply Now  |   Contact Us

Syarahan Perdana Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul

Syarahan Perdana Profesor

MENGURUS SUMBER MANUSIA DAN KESEJAHTERAAN DALAM RANJAU PERUBAHAN

Oleh
PROF. DR. ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
UKM-Graduate School of Business

Tarikh: 27 Ogos 2021
Masa: 9 AM 12.00 Noon

Zoom: https://bit.ly/3iZjHHU
Meeting ID: 927 0137 2147
Passcode: 350644

Facebook Live
https://www.facebook.com/UKMGSBofficial
https://www.facebook.com/UKMOfficial/

Download
[Poster]
[Abstrak]
[Backdrop Zoom live]

ABSTRAK

Mengurus Sumber Manusia dan Kesejahteraan Dalam Ranjau Perubahan

Bukan semua perubahan boleh diterima dengan mudah kerana ia memberi impak kepada pelbagai spektrum kehidupan insan. Perubahan menimbulkan cabaran dan isu berkait keselamatan, kesihatan, produktiviti, kelangsungan perniagaan, kemahiran sumber manusia serta peluang pekerjaan. Cabaran tersebut juga tidak kurang menimbulkan perasaan bimbang dan cemas dalam diri individu. Namun suka atau tidak, hakikatnya setiap individu perlu menerima perubahan dan turut berubah seiring masa. Perubahan organisasi berkisar kepada tiga aspek utama iaitu manusia, struktur dan teknologi. Mengubah manusia adalah tugas paling kritikal berbanding mengubah struktur dan teknologi lantaran perubahan memberi kesan kepada emosi manusia. Aspek kesejahteraan sumber manusia mesti menjadi agenda penting organisasi apabila perubahan berlaku di persekitaran bagi meminimumkan impak negatifnya, yang mungkin menjadi pencetus krisis ekonomi dan kemanusiaan.

Penyelidikan pengurusan sumber manusia menegaskan sumber manusia dan kesejahteraannya perlu dipelihara lantaran kehebatannya berbanding teknologi canggih. Selain itu, unsur kemanusiaan dan keintelektualan sumber manusia merupakan kunci kejayaan mendepani perubahan persekitaran. Atas dasar inilah cabaran gelombang perubahan perlu diseimbangkan dengan tuntutan menyejahterakan masyarakat dalam tahun 2021. Tempias perubahan persekitaran akibat pandemik COVID-19 dan Industri 4.0 yang berlaku dalam tahun 2020 mula dirasai oleh masyarakat. Ia adalah satu gelombang perubahan besar yang mengubah landskap perjalanan kehidupan manusia. Fenomenon ini menjadikan isu stres dan kemurungan, teknologi komunikasi dan teknostres, kepimpinan, pengurusan bakat, penilaian prestasi, konflik dalam organisasi, sindrom bangunan tidak sihat sehinggalah kepada isu aduan somatik dan gangguan otot rangka sangat sinonim dengan kesejahteraan mendepani perubahan. Di sinilah terletaknya cabaran mengurus sumber manusia yang bukan sahaja perlu melaksanakan fungsi rutin tetapi menjangkau isu kesejahteraan sumber manusia.

Falsafah dan teknik pengurusan perubahan yang menekankan perhubungan kemanusiaan membuktikan kepentingan integrasi pengurusan sumber manusia, kesejahteraan dan persekitaran. Integrasi ketiga-tiga unsur ini mampu menjelmakan organisasi baharu yang lebih lestari dan berdaya saing serta melahirkan sumber manusia yang sihat secara holistik. Antara pendekatan yang dicadangkan ialah menitikberatkan aplikasi ergonomik, keseimbangan kerja-keluarga dan amalan pengurusan sumber manusia lestari. Selain itu, kesejahteraan emosi perlu diterapkan ke dalam strategi pembangunan sumber manusia. Hasrat ini boleh dijayakan melalui fungsi latihan dan pembangunan. Fungsi ini mengupayakan sumber manusia mengubah suai diri dan menyediakan mentalnya untuk melakukan penambahbaikan kendiri secara berterusan serta mengharungi cabaran realiti baharu tahun 2021 yang rencam.

Bagi melestarikan simfoni indah ini, setiap individu perlu menyedari bahawa potensi diri boleh menyinar dengan bantuan dan gilapan organisasi. Mengurus sumber manusia dan kesejahteraan secara berkesan mampu dicapai melalui ikatan psikologi antara pekerja dengan organisasi. Organisasi perlu mengguna pakai apa sahaja strategi mampannya bagi membugar dan menyegarkan rasa setia pekerja terutamanya dalam kalangan pekerja cemerlang.