SPRM siasat 97 kes salah laku babitkan IPTA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 97 kertas siasatan membabitkan kesalahan urus tadbir dan salah laku rasuah di insitusi pengajian tinggi awam (IPTA) dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak tahun 2016.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata SPRM juga menerima banyak laporan membabitkan pelbagai kesalahan yang dilakukan pegawai pelbagai jawatan dan peringkat di IPTA.

“Sejak 2016 hingga 2021 kita menerima banyak isu kesalahan membabitkan IPTA dan sebanyak 97 kes siasatan juga dibuka sejak itu.

“Sejumlah 70 orang ditangkap dan 43 daripadanya dituduh di mahkamah,” katanya dalam ucapan selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Integriti UKM 2021-2025 yang diadakan secara maya, hari ini.

Turut menyaksikan acara itu adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap IPTA perlu mengenal pasti risiko berlakunya aktiviti salah laku rasuah mahupun kesalahan urus tadbir untuk mengelakkan jenayah itu berlaku dengan lebih serius.

“Ketika ini, ia mungkin belum mencapai tahap yang membimbangkan, tetapi ada baik sekiranya kita mampu mencegahnya,” katanya.

Azam berkata, walaupun kempen mengamalkan budaya kerja yang baik dan berintegriti adalah bagus, tindakan yang lebih berkesan dan berstrategi perlu dilakukan di setiap IPTA seluruh negara.

“Ketika kita cuba mempopular budaya yang baik, kita juga perlu ada strategi yang berkesan untuk mengawal manusia-manusia yang berkaitan. Tidak sekadar mempromosi ‘good culture’ sahaja.

“Disebabkan itu lah kita perlu mempunyai undang-undang untuk mengawal perkara ini seperti yang diwujudkan oleh UKM,” katanya

Kata Azam, inisiatif yang dilaksanakan oleh UKM perlu menjadi contoh kepada insititusi pendidikan lain kerana ia membantu memperkukuhkan dasar sedia ada selain memberikan imej yang bersih kepada institusi.

Abdul Wahid pula berkata, antara objektif pembangunan pelan itu adalah untuk menyediakan hala tuju dan kerangka tindakan pencegahan rasuah yang berstruktur dan jelas, menangani permasalahan dan kelemahan tatakelola integriti dan rasuah, mempamerkan komitmen pengurusan yang tinggi dalam usaha pencegahan rasuah.

“Pelan ini juga menyediakan satu platform yang sistematik dalam menangani isu rasuah dengan mekanisma pemantauan dan pelaporan yang boleh dibuat kepada pengurusan tertinggi UKM secara berkala,” katanya.


Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/839387/sprm-siasat-97-kes-salah-laku-babitkan-ipta

Similar Posts