Bengkel Inovatif AI-Nose & AI-Tongue for Food Research: AI-Driven Sensory Technology 2025

Pada 28 Ogos 2025, Kumpulan Penyelidikan Pemprosesan dan Kejuruteraan Makanan (FPEG), Jabatan Sains Makanan, telah menganjurkan bengkel inovatif AI-Nose & AI-Tongue for Food Research: AI-Driven Sensory Technology 2025. Kerjasama strategik antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan MUI Robotics, Thailand ini telah berjaya menghimpunkan seramai 23 peserta dari pelbagai bidang penyelidik, ahli akademik, dan pelajar pasca dan prasiswazah, yang berminat untuk meneroka sempadan baharu dalam penyelidikan makanan.
Para peserta didedahkan kepada ilmu dan pengalaman hands-on kecerdasan buatan dalam penilaian sensori makanan, iaitu AI-Nose dan AI-Tongue yang menawarkan pendekatan yang lebih objektif, pantas dan konsisten dalam menganalisis profil aroma dan rasa makanan. AI-Nose dan AI-Tongue telah mula digunakan secara meluas dalam kawalan kualiti dan kesegaran produk makanan sepanjang rantaian makanan termasuk buah dan sayuran, pengesahan ketulenan produk seperti madu, minyak zaitun dan kopi premium dan pembangunan produk baharu. Aplikasi kecerdasan buatan (AI) ini turut diperluas dalam pelbagai bidang seperti kimia polimer (pengesanan degradasi bahan), biosains(pengenalpastian sebatian biologi daripada aktiviti mikrob), dan dalam pengurusan alam sekitar (pengenalpastian pencemaran dan degradasi bahan aktif).
Bengkel ini bukan sahaja merintis kerjasama antara UKM dan industri dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk sains dan teknologi makanan, malah turut membuktikan komitmen FPEG dan FST dalam memacu inovasi dan kecemerlangan dalam bidang sains dan teknologi secara keseluruhannya.