Lawatan Rasmi National Centre of Food Safety (NCFS) & Unipeq Sdn. Bhd. ke Jabatan Sains Makanan, FST, UKM

LAWATAN RASMI NATIONAL CENTRE OF FOOD SAFETY (NCFS) DAN UNIPEQ SDN. BHD. KE JABATAN SAINS MAKANAN, FST, UKM
Jabatan Sains Makanan (JSMn), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima lawatan rasmi daripada National Centre of Food Safety (NCFS) dan Unipeq Sdn. Bhd. pada 19 Januari 2026 di bertempat di Bilik Rejunevasi, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.
Objektif lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pihak NCFS dan Unipeq berkaitan perkhidmatan serta aktiviti penyelidikan yang dijalankan di Jabatan Sains Makanan, khususnya dalam bidang analisis makanan, pemprosesan makanan, keselamatan makanan, pengurusan data, dan pembangunan produk makanan. Lawatan ini juga bertujuan meneroka potensi kerjasama penyelidikan dan kolaborasi strategik antara pihak industri dan akademia.
Sesi perkenalan dan perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM), Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. Dr. Rizafizah Othaman, dan turut disertai oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. ChM. Dr. Ishak Ahmad.
Selain sesi taklimat dan perbincangan, para delegasi turut dibawa melawat makmal-makmal penyelidikan Sains Makanan serta Loji Pandu Makanan bagi meninjau kemudahan dan keupayaan penyelidikan yang terdapat di Jabatan Sains Makanan, FST, UKM.
Pihak Jabatan Sains Makanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kunjungan pihak NCFS dan Unipeq, dan berharap hubungan kerjasama ini dapat diperkukuhkan demi menyokong pembangunan sains, teknologi dan keselamatan makanan negara.