500 Sukarelawan Sukan SEA Kumpulan Pertama Jalani Latihan di UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Sulimi

BANGI, 9 Januari 2017 – Seramai 500 orang sukarelawan Sukan SEA kumpulan pertama telah menjalani Program Latihan Sukarelawan Sukan SEA 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 28 dan 29 Disember lepas.

Ketua Projek Modul Latihan Sukarelawan Sukan SEA 2017, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata sukarelawan yang hadir itu ada antaranya terdiri daripada suri rumah, pesara tentera dan polis, ketua pegawai eksekutif dan juga pelajar.

“Walaupun mereka ini tidak dibayar apa-apa, tetapi semangat mereka untuk belajar bagi berbakti kepada negara amat tinggi,” katanya.

Beliau berkata terdapat tujuh modul yang telah disediakan oleh UKM.

“Modul-modul itu adalah Kenegaraan, Patriotisme dan Isu-isu semasa, Latar Belakang ASEAN dan Sukan Sea, Motivasi sebagai Sukarelawan Berkesan, Komunikasi Merentas Budaya dan Kemahiran Komunikasi Berbahasa, Komunikasi dalam Situasi Mencabar, Pembentukan Imej Profesional dan Protokol dan Tindak Balas dalam Situasi Kecemasan,” katanya.

Beliau berkata modul tersebut disampaikan dalam bentuk Massive Open Online Course (MOOC) yang merupakan kaedah baru dalam pengajaran.

“Jadi para sukarelawan boleh mengakses modul-modul ini bila-bila masa sahaja apabila mereka telah tamat latihan,” jelasnya.

Seorang peserta, Siti Fatimah Mohd Sabri, pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata beliau menyertai sukarelawan Sukan SEA kerana mahu memberi sumbangan kepada negara selain mencari pengalaman baru.

“Sudah hampir 20 tahun Malaysia tidak menajdi tuan rumah acara sukan yang besar, jadi saya ambil peluang ini untuk berbakti kepada negara,” katanya yang pernah menjadi sukarelawan Commonwealth Game tahun 1998 .

Bagi pasangan adik beradik Ryan dan Roo Fong, pemilihan mereka untuk menjadi sukarelawan Sukan SEA sangat dinanti-nanti.

“Kami sangat teruja kerana terpilih dan akan menjalankan tugas dengan baik demi menjaga nama baik Malaysia,” kata mereka.