7,709 Graduan UKM Terima Ijazah pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-49 Secara Fizikal


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 27 November 2021 – Seramai 7,709 graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-49 yang diadakan secara fizikal bermula 27 November hingga 8 Disember 2021 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM.

Pada Sidang Canselor, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali diisytiharkan sebagai Pro-Canselor baharu UKM. Pengisytiharan lantikan tersebut disempurnakan oleh Canselor UKM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Majlis Konvokesyen UKM ke-49 juga turut menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Jaringan Pendidikan Kesihatan Dan Kelestarian) kepada Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sains Nuklear) kepada Y.M. Raja Dato’ Abdul Aziz Raja Adnan. Beliau adalah mantan Pengarah Bahagian Keselamatan Nuklear (Director of Nuclear Security – DIR-NS) di Jabatan Keselamatan Nuklear (Department of Nuclear Safety and Security), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (International Atomic Energy Agency – IAEA) yang beribu pejabat di Vienna, Austria. Anugerah itu diberikan atas sumbangan besar kedua-dua tokoh ini dalam pembangunan negara.

Selain itu, seramai lima orang mantan pensyarah UKM dianugerahi gelaran Profesor Emeritus. Mereka adalah Dato’ Dr. Halimah Hj. Badioze Zaman, Dato’ Ir. Dr. Hassan Basri, Dato’ Dr Raymond Azman Ali dan Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani. Manakala Allahyarham Dato’ Paduka Dr. Khalid Yusoff dianugerahi Profesor Emeritus Posthumous.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata ini adalah Majlis Konvokesyen kedua diadakan dalam situasi pandemik COVID-19.

“Walaupun dunia belum pulih dengan virus ini (COVID-19), namun majlis konvokesyen ini diadakan juga, dengan 12 sidang secara bersemuka atau fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Beliau berkata hanya bakal graduan sahaja dibenarkan untuk berada di dalam dewan DECTAR tanpa ditemani oleh ibu, bapa atau keluarga.

“Walau bagaimanapun, mereka masih boleh menonton Majlis Konvokesyen secara langsung melalui saluran media sosial rasmi UKM, https://www.facebook.com/UKMOfficial serta saluran Youtube, https://live.ukm.my. Pautan siaran langsung juga boleh diperolehi dari Laman Web Rasmi Konvokesyen, www.ukm.my/konvo,” katanya.

Selain itu, katanya, semua graduan, ahli akademik dan petugas yang berada di dalam dewan perlu mengekalkan pemakaian pelitup muka sepanjang masa termasuk ketika mengambil skrol di atas pentas.

Beliau berkata UKM hanya melaksanakan majlis konvokesyen dengan satu sidang sahaja untuk satu hari, iaitu disebelah pagi dengan tempoh masa maksimum setiap sidang adalah 3 jam bagi mengelakkan pertembungan sekiranya diadakan dua sidang pada satu hari.