Bahasa Melayu Wujud Pada Abad ke 7 Masihi – Prof Emeritus Nik Safiah

niksafiah
Oleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 22 Julai 2015 – Tulisan Bahasa Melayu yang terawal dijumpai ialah yang wujud pada abad ke-7 masihi, pada batu-batu bersurat dan dalam tulisan yang sukar dibaca sekarang, di Sumatera.

Karyawan Tamu Universiti Malaya Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim berkata adalah dipercayai Bahasa Melayu wujud sejak zaman dahulu lagi, tetapi tradisi dokumentasi ketika itu kekurangan, dan banyak bahan yang hilang, termusnah dan diambil orang.

Sejarah Bahasa Melayu sangat gemilang namun tidak ramai yang sedar akan hal ini terutama golongan remaja, kata Prof Nik Safiah dalam syarahan beliau bertajuk Menghayati Keindahan Bahasa Melayu pada Wacana yang di anjurkan oleh Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini pada 6 Mei yang lalu.

Menurut beliau sejarah membuktikan Bahasa Melayu mempunyai beberapa sistem tulisan yang berasal dari Asia Tenggara dan juga yang dibawah dari luar seperti India, Timur Tengah dan Eropah.

Katanya, terdapat beberapa pusat persuratan Melayu Islam yang kaya dan bertenaga yang lazimnya terletak di ibu negeri kerajaan-kerajaan Islam, seperti Samudera Pasai pada tahun 1280-1400 M, Melaka 1400 – 1511 M, Aceh 1511 -1650 dan Johor- Riau 1650 – 1800.

Prof Nik Safiah berkata Bahasa Melayu yang wujud pada masa dahulu tidak jauh bezanya apabila dibandingkan dengan bahasa Melayu zaman sekarang . Apa yang berlainan ialah perbendaharaan kata kerana keadaan dan barang yang wujud sekarang tidak sama dengan zaman dahulu, tetapi binaan ayat, pada dasarnya sama.

“Tak kenal maka tak cinta setelah kenal baru timbul rasa cinta terhadap bahasa, rasa bangga untuk menggunakannya dan rasa ingin untuk mempertahankannya”, kata beliau.

Selain sebagai bahasa rasmi negara, Bahasa Melayu juga digunakan untuk ilmu pengetahuan dan yang terpenting menjadi bahasa perhubungan antara rakyat jelata.

“Bahasa sebagai gambaran fikiran dan perasaan oleh itu Bahasa Melayu hendaklah baik, betul dan indah agar berjaya menyampaikan mesej dengan berkesan”, Prof Nik Safiah menjelaskan.

Bahasa yang asli baik sifatnya dan berjaya menyampaikan mesej dengan berkesan.

“Bahasa yang memiliki nilai estetik yang tinggi dan mesejnya mengandungi unsur-unsur keindahan, serta susunan perkataan dan aspek rentak iramanya indah disebut bahasa yang indah,” tambah beliau.
ukmnewsportal-bm