Banteras Rasuah Jika Mahu Sistem Kewangan Dan Kehakiman Islam Yang Berjaya – Hakim Mahkamah Rayuan

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 Julai 2015 – Sebuah negara harus terdahulu membanteras  rasuah sebelum mengamalkan perbankan Islam, Sukuk atau bon Islam dan pinjaman tanpa faedah atau Murabaha (jualan kredit) dengan jayanya.

Terdapat juga beberapa negara bukan Islam yang maju dan lebih berjaya dalam mengamalkan kewangan Islam dari negara-negara Islam di dunia ketiga kerana mereka mempunyai indeks rasuah yang jauh lebih rendah, kata Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Haji Hamid Sultan Abu Backer.

“Prinsip-prinsip Ekonomi tidak boleh digunakan jika tiada ketelusan, akauntabiliti, tadbir urus yang baik. Negara-negara yang tidak mengamalkan ini akan merosot. Kekurangan ketelusan dan akauntabiliti adalah rasuah. Semua ada kaitan dengan rasuah,”  kata Hamid Sultan dalam syarahan bertajuk ‘Kontrak Kewangan Islam: Apakah Kemungkinan Keadilan Ekonomi?’ dalam siri ke-3 forum mengenai Kewangan Islam.

Forum tersebut dianjurkan bersama oleh Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Penyelidikan Untuk Ekonomi dan Kewangan Islam (EKONIS) dan Pusat Inovasi Kolaborasi (PIK) pada 28 Mei lalu.

Beliau percaya bahawa Perundangan Ekonomi juga tidak dapat maju dalam sistem yang wujud rasuah, tetapi hanya menyerupai seperti ada kemajuan.

Malahan ada perniagaan Islam yang melabur modal bentuk Syariah di negara bukan Islam seperti Britain.

“London merupakan pusat komersial. Banyak perkara, termasuk Kewangan Islam boleh didapati. Bukan itu sahaja, apabila anda mahu menimbang tara (arbitration), London adalah popular.

“Singapura, Australia, Hong Kong juga merupakan tempat-tempat yang bersih seperti itu. Tiada siapa yang mengatakan negara-negara Asia tidak diyakini. Setakat ini, salah satu daripada tempat yang paling diyakini adalah London,” Hamid Sultan menjelaskan.

Negara-negara majoriti Islam tidak harus berbangga dengan  sistem Kehakiman Islam mereka melainkan mereka terdahulu  mengatasi kekangan rasuah.

“Perundangan Islam, (Fiqh) merupakan sistem yang sempurna, dengan syarat bahawa ia tidak dicemari rasuah,” katanya.

Walau bagaimanapun, urus niaga Islam sebenarnya wujud sebelum zaman Nabi Muhammad (SAW) lagi.

Beliau memberitahu sebelum zaman Nabi, terdapat perniagaan  yang menolak makan Ri ‘Ba’.

Mengenai Keadilan Islam, beliau menjelaskan bahawa ia memberi keutamaan kepada pembasmian kemiskinan.

“Oleh itu, anda tidak boleh memakai jam tangan Rolex jika ada orang lain tidak mampu. Sebaik-baiknya semua orang harus mempunyai jam Rolex.

“Inilah prinsip-prinsip Mudarabah, yang mana jika digunakannya dengan betul, setiap orang mempunyai harta yang sama,” katanya.

Mudarabah merujuk kepada satu bentuk kontrak perniagaan di mana satu pihak membawa modal dan pihak lain menyumbang daya usaha. Pembahagian keuntungan ditentukan secara  persetujuan bersama.

“Mengapa Mudarabah popular? Mereka menggunakan modul yang membuat banyak keuntungan.

“Prinsip-prinsip urus niaga komersial Islam direka khas supaya menghapuskan  eksploitasi ketidaksamaan dan ketidakseimbangan ekonomi dalam masyarakat.

Bagi Sistem Keadilan Islam, beliau berkata, beberapa negara bukan Islam mengamalkan keadilan yang lebih mirip kepada sistem yang diamalkan semasa Khalifah Ar Rasyiddin, berbanding negara-negara Islam moden.

“Apa sahaja Khalifah Ali berkata, saya nampak di UK. Orang ramai mempunyai keyakinan penuh dalam sistem kehakiman itu. Khalifah Ali berkata ‘anda mencari yang terbaik (hakim), membayar dia yang terbaik, dengan bidang kuasa sepenuhnya ke atas semua perkara,” katanya.

Mengenai undang-undang di Malaysia, beliau berharap rakyat Malaysia akan menjadi lebih matang supaya dapat menerima ketelusan dan lebih terbuka dalam hal menggubal undang-undang.

“Budaya kita tidak dapat menerima berita kritikal. Ini adalah budaya yang sangat berbahaya. Ia tidak akan diterima oleh standard antarabangsa.

“Di negara kita, kita masih mempunyai budaya kolot, di mana tindakan dan undang-undang diperkenalkan tanpa berunding dengan pihak-pihak yang berkepentingan,”  tambah beliau.
ukmnewsportal-bm

2

3