Cabaran UKM Menuju Jubli Emas 50 Tahun

1
Oleh Engku Shariful Azni
Foto  Raai Osman, Shahiddan Saidi dan Izwan Azman

BANGI, 3 Mar 2016 –  Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali menyeru semua warga UKM bekerjasama menaikkan nama UKM pada persada antarabangsa menjelang tahun 2020.

Sepanjang 46 tahun penubuhannya, UKM telah berjaya melahirkan ramai alumni yang tersohor dan pemimpin berpengaruh dalam pelbagai bidang yang memacu kemajuan negara, kata Prof Noor Azlan ketika Bicara Perdana Naib Canselor baru-baru ini.

Prof Noor Azlan menegaskan bahawa semua warga UKM sama ada ahli akademik, mahasiswa mahupun staf pengurusan perlu bergerak sederap dalam memastikan UKM mengungguli kedudukan yang tertinggi berbanding universiti yang lain dengan lebih cemerlang.

Dalam memastikan UKM mencapai sasaran yang dikehendaki, enam bidang Keberhasilan Utama (KRA) UKM telah diperkenalkan pada tahun 2014 yang digarap dengan strategi yang selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak pada April 2015.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal berkata kenam-enam KRA UKM diibaratkan seperti kaki labah-labah yang menunjukkan komponen-komponen tersebut saling berkaitan antara satu sama lain.

“Dalam setiap KRA, sudah ada strategi yang perlu dilaksanakan yang telah disampaikan ke setiap fakulti yang direka untuk mencapai objektif yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Turut diadakan majlis Pelancaran Video Korporat UKM yang berwajah baharu di penghujung acara tersebut yang dirasmikan oleh Naib Canselor serta barisan Timbalan Naib Canselor.ukmnewsportal-bm
2