Dua Pelumba Basikal Berjaya Rangkul Anugerah Utama Majlis Anugerah Sukan UKM 2015 Ke 25

Two UKM National Cyclists Win Top Prizes At 25th UKM Sports Awards 2015.jpg1Oleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)
Foto Izwan Azman & Ikhwan Hashim

BANGI, 24 Mac 2015 – Dua pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bergiat dalam sukan basikal negara berjaya merangkul dua anugerah utama pada Malam Anugerah Sukan UKM 2015.

Mardiana Mohamad, 21, pelajar tahun dua  adalah peraih dua pingat emas dalam sukan basikal pada kejohanan SUKMA 2014 dan International Border PDRM challenge serta  beberapa pingat lain yang menjadikan beliau olagragawati terpilih.

Anugerah Olahragawan Pelajar dimenangi oleh M Asrul Taufiq Annuar, 21, pelajar tahun dua  UKM yang pada tahun 2014 telah mengukirkan banyak kejayaan, diantaranya pingat emas dalam Kejohanan Trek Kebangsaan,  Kejohanan Batu Pahat HS 100 dan Kejohanan Trek Remaja Kebangsaan.

Turut hadir pada malam Anugerah Sukan UKM 2015, Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Timbalan Naib Canselor Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar (Hal-Ehwal Penyelidikan & Inovasi), Prof Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal (Hal-Ehwal Pelajar & Alumni) dan Pengarah Pusat Sukan UKM Dr Tajul Arifin Bin Muhamad .

Ketika merasmikan majlis ini, Prof Noor Azlan mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pemenang yang mengharumkan nama UKM di dalam dan luar negara.

Katanya UKM juga akan berusaha memberi gaji kepada para pelatih setara dengan gaji ahli akademik, sehaluan dengan taraf profesional.

Dr Tajul Arifin pula  berkata Pusat Sukan UKM menggalakan semua pelajar dan kakitangan UKM untuk terlibat dalam program sukan yang diadakan di dalam dan luar kampus. Selain untuk manfaat kesihatan ianya juga membentuk jati diri dan sikap kesukanan.

Pusat Sukan UKM telah bekerjasama dengan Kementrian Sukan dan Belia, serta beberapa badan korporat. Pada tahun 2014, 18 pelajar UKM yang bergiat dalam sukan menerima biasiswa daripada yayasan Sime Darby hingga menamatkan pengajian. Pada masa akan datang UKM akan menjalin kerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan .

Hadiah-hadiah berupa piala, sijil penghargaan dan wang tunai bagi anugerah utama itu disampaikan oleh Prof Dr Noor Azlan Ghazali dan Tajul Arifin.

Selain penyampaian anugerah, para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan nyanyian oleh pelbagai kumpulan pelajar.

Pemenang Anugerah Olahragawati, Mardiana Mohamad ketika ditemui memberitahu penglibatannya dalam  sukan basikal sejak dari sekolah rendah dan semakin tekun berlatih ketika di Universiti.

Mardiana  berkata untuk keberhasilan  dalam sukan seperti ini, perlu konsisten dan menumpu kepada matlamat.

Beliau menasihatkan semua pelajar jangan mudah menyerah kerana kejatuhan pada awalnya perkara biasa.

Pemenang Anugerah olahragawan  M Asrul Taufiq Annuar, memberitahu penglibatanya dalam sukan basikal  adalah kerana kegemaran yang digalakkan oleh ibu-bapanya.

Beliau sentiasa memberi tumpuan kepada pelajarannya dan bergiat dalam sukan bagi mengisi masa lapang.

Beliau menasihatkan para pelajar untuk bergiat dalam sukan bagi menjaga kesihatan badan agar kegiatan akademik dapat berjalan dengan baik.

Berikut nama-nama penerima anugerah utama Majlis Anugerah Sukan UKM 2015 ke 25

Anugerah Olahragawati Pelajar – Mardiana Mohamad – Sukan Berbasikal

Anugerah Olahragawan pelajar – M Azrul Taufiq Annuar – Sukan Berbasikal

Anugerah Olahragawati Kakitangan – Mastura Abdul Razak – Sukan Olahraga

Anugerah Olahragawan Kakitangan – Mohd Muqlis Borhan – Sukan Sepak Takraw

Pemenang bagi kategori anugerah utama akan menerima sijil, trofi iringan, jaket sukan dan wang tunai RM 1,000.00
ukmnewsportal-bm