Empat Bidang Utama Jana Pendapatan Untuk UKM

02
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 Mac 2016 – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali  telah mengenal pasti empat bidang utama untuk menjana pendapatan universiti bagi tahun 2016.

Bidang utama tersebut adalah program pendidikan, kepakaran, aset dan pengewangan aset.

 “Kita boleh mengambil peluang untuk menjana pendapatan melalui program pasca siswazah yang berkualiti tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembentangan Kejayaan Pelajar PERMATApintar UKM di sini baru-baru ini.

Selain itu, katanya UKM juga mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, kajian alam sekitar, minyak dan gas dan ekonomi, yang boleh digunakan dalam perkhidmatan perundingan bersama syarikat-syarikat luar.

Teras yang ketiga adalah penyewaan aset universiti kepada pihak luar, seperti padang dan gelanggang sukan UKM untuk pertubuhan luar menganjurkan kejohanan.

Beliau turut memberitahu bahawa pada masa hadapan UKM akan mempunyai stadium kriket bertaraf antarabangsa yang bernilai RM2 juta hasil sumbangan Yayasan Sime Darby, dan itu akan membantu UKM dalam menjana pendapatan tambahan.

Strategi yang terakhir adalah melalui pengewangan aset, seperti hutan pendidikan alam dalam kampus yang mempunyai banyak kemudahan yang boleh disewa oleh sesiapa sahaja.

Beliau turut memberitahu bahawa UKM sedang merancang untuk membuka semula pusat pembelajaran di Sabah yang telah ditutup selepas tertubuhnya Universiti Malasyia Sabah.

Beliau menambah bahawa pusat pembelajaran tersebut akan dibaik pulih dan dikendalikan seperti pusat-pusat penyelidikan UKM di Langkawi, Tasik Chini, Mersing, Teluk Intan dan Beranang.ukmnewsportal-bm