FPI dan Primeworks Studios hasilkan Dokumentari Islam

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 11 Julai 2016 – Khazanah ilmiah yang dikutip dari pelbagai sumber penyelidikan daripada Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, telah dijadikan sebagai suatu siri dokumentari oleh Primework Studios Sdn Bhd.

Siri tersebut, yang diberikan tajuk Dokumentari Ulama Nusantara, terdiri daripada 13 episod dan bakal dilancarkan di Jakarta, Indonesia oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

“Data yang dikumpulkan adalah data yang tidak boleh dinilai dengan harga dan ia menghimpunkan pelbagai hipotesis bukan sahaja berkaitan dengan penyebaran Islam di Nusantara tetapi metodologi yang digunakan oleh Ulama pada zaman dahulu untuk mengukuhkan kedudukan mereka di bumi benua tersebut,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks, Ahmad Izham Omar.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata Dokumentari Ulama Nusantara menepati harapan dan hasrat UKM dalam mengetengahkan bidang agama Islam yang sudah lama bertapak di Nusantara.

Beliau berkata UKM sentiasa memerlukan rangkaian pemegang taruh untuk melestarikan proses pemindahan ilmu kepada masyarakat dan negara secara lebih berkesan.

“Primeworks Studios merupakan salah satu daripada rakan strategik UKM untuk menggerakkan falsafah perubahan UKM dalam memasyarakatkan penyelidikan yang dijalankan,” jelasnya.

Beliau berharap agar penerbitan Dokumentari Ulama Nusantara menjadi titik tolak kepada usaha untuk memajukan lagi bidang penyelidikan tentang Ulama Nusantara khususnya dalam bentuk penerbitan visual.ukmnewsportal-bm
2

3