Galakan Pelajar Supaya Ceburi Bidang Keusahawanan Sukan

sukan
Para pelajar selepas perasmian Program Keusahawanan Sukan

Laporan dan Foto oleh Ng Yung Shuang dan Nadya Rizal

BANGI, 18 Dis 2015 – Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang mempunyai minat untuk menceburi bidang keusahawanan selepas tamat pengajian akan diberikan latihan secukupnya melalui rangka kerja Job Creator Framework yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan.

Zuraidah Mohamed Said, selaku Ketua Penolong Setiausaha Unit Keusahawanan, Kementerian Pendidikan Tinggi berkata program khusus untuk membangunkan usahawan dalam bidang sukan  berjaya mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Zuraidah berkata demikian ketika merasmikan program keusahawanan sukan di sini pada 28 November lalu.

“Pihak kementerian mempunyai rangka kerja yang dikenali sebagai ‘Job Creator Framework’ khususnya untuk menganjakkan minda para mahasiswa daripada seorang pencari pekerjaan (Job Seeker) kepada seorang penjana pekerjaan (Job Creator)”,  beliau berucap pada majlis tersebut.

Beliau juga memberi contoh ikon keusahawanan yang terkenal seperti pemilik Al-Ikhsan Hj Ali Bin Hassan dan juara Badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

Menurut beliau, keusahawanan bukan sesuatu yang baru bagi peringkat kementerian.

Pada tahun 2010, dasar keusahawanan IPT telah dilancarkan bagi menerapkan pendidikan dan pembangunan keusahawanan sebagai salah satu agenda yang penting untuk memantapkan lagi kecemerlangan IPT.

“Harapan saya adalah mahasiswa dapat memanfaatkan selain daripada subjek teras iaitu sukan dengan elemen tambahan keusahawanan bagi mempersiapkan diri apabila menempuhi alam pekerjaan nanti,” kata beliau lagi.

Tambah beliau bidang keusahawanan bukan bidang yang sukar diterokai kerana skop dan peluangnya adalah amat luas pada masa akan datang.

Para mahasiswa digalakkan mengorak langkah untuk cuba menceburi bidang keusahawanan bagi mendapat manfaat yang lebih daripada dijangkakan.ukmnewsportal-bm