Georgia Mahukan Hubungan Pendidikan Lebih Rapat Dengan Malaysia

Georgia Seeks Closer Educational Ties With Malaysia1Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 19 Mac 2015 – Negara Georgia yang terletak di wilayah Caucasus selatan bercadang untuk mengadakan kerjasama pendidikan tinggi yang lebih luas dengan Malaysia.

Kuasa usahanya di Malaysia, Levan Machavariani berkata negaranya sedang giat mencari rakan kerjasama dalam penyelidikan dan kajian akademik dengan beberapa universiti di Malaysia, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berucap ketika memberi ceramah bertajuk ‘Dasar Luar Georgia dan Perkembangan Semasa di Wilayah Caucasus’ yang dianjurkan oleh Institut Kajian Oksidental UKM (IKON) di sini hari ini, Machavariani berkata Georgia kini mempunyai hubungan yang terhad dengan universiti-universiti Asia.

Walaupun budaya dan bahasa Georgia lebih mirip kepada Eropah, kerajaannya yang berkuasa sejak tahun 2012, sedang mencari pelbagai peluang pelaburan dengan negara-negara lain dan mula menarik pelaburan dari Jepun dan China.

Ia juga mahu bekerjasama dengan usahawan dari Asia Tenggara, kata Machavariani dalam syarahannya dalam siri ‘Wacana Perutusan Diplomatik’ IKON atau siri 3D bagi tahun 2015.

Beliau berkata salah satu keutamaan dasar luar Georgia adalah untuk merangsang hubungan ekonomi dan politik yang rapat dengan negara-negara membangun yang dinamik di Asia, terutama mempertingkatkan perdagangan dan pelaburan.

Rantau Caucasus Selatan, katanya, adalah sebahagian daripada koridor pengangkutan dari China, melalui negara-negara Asia Tengah ke pasaran Barat. Oleh itu, kestabilan dan kemakmuran di rantau Selatan Caucasus adalah penting untuk keselamatan dan kestabilan global.

Machavariani adalah Kaunselor dan Kuasa Usaha Kedutaan Georgia di Malaysia. Sebelum pelantikannya di Kuala Lumpur pada bulan Disember 2013, beliau adalah Setiausaha Pertama di Kementerian Luar Georgia di Tbilisi, mengenai Asia, Afrika, Australia dan Lingkaran Pasifik.

Pengarah dan Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Prof Dr Rashila Ramli telah memperkenalkan Machavariani. Ketua IKON dan Fellow Kanan IKMAS Prof Madya Dr Noraini Md Yusof turut hadir pada ceramah itu.
ukmnewsportal-bm