Geran Tahunan RM2.9 Juta Bagi UKM Kaji Dan Pantau Selat Johor

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto  Ikhwan Hashim

BANGI, 20 November 2015 – Berbekalkan geran RM2.9 juta, penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan memantau dan mengumpul data mengenai alam sekitar di sepanjang Selat Johor.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah amanahkan tugas tersebut kepada UKM Pakarunding Sdn Bhd, cabang perundingan UKM yang memasarkan kepakaran ahli akademik universiti dan penyelidik.

Memorandum kontrak untuk penyelidikan dan pemantauan alam sekitar telah ditandatangani oleh Pro Naib Canselor UKM (Penjanaan dan Prasarana) Prof Nor Ghani Md Nor dan Jabatan Alam Sekitar, yang diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Halimah Hassan, di sini hari ini.

Institut Perubahan Iklim (IPP) di UKM, yang diketuai oleh Pengarahnya  Prof Datuk Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah akan menjalankan kajian jangka panjang dengan geran tahunan sebanyak RM2.9 juta.

Selat Johor, yang juga dikenali sebagai Selat Tebrau, adalah selat yang memisahkan negeri Johor di Malaysia dari Singapura di selatan.

Menurut isi kandungan kontrak, kajian ini adalah lanjutan daripada projek penyelidikan yang telah dijalankan sejak tahun 2004.

Bercakap kepada Portal Berita UKM selepas upacara tandatangan Prof Sharifah Mastura berkata tanggung jawab tersebut adalah secara besar-besaran dan dibahagikan kepada dua komponen dalam tempoh beberapa tahun.

“Kita perlu untuk mengumpul data alam sekitar di sepanjang Selat Johor, dan mengumpul maklumat di pulau-pulau Batuan Tengah dan Tubir Selatan (di Singapura).

“Objektif projek ini adalah untuk terus memantau keadaan persekitaran di sepanjang Selat Johor dan kawasan sekitarnya yang berpotensi untuk mencemarkan air.

“Kami akan membangunkan pangkalan data untuk empat bidang utama; kualiti air, ekologi, sosio-ekonomi dan morfologi. Cadangan itu disasarkan untuk tempoh 24 bulan pada tahun 2015 sehingga 2016,” Prof Sharifah Mastura menjelaskan.

Menurut beliau kajian dilakukan dengan parameter termasuk hutan paya bakau, haiwan invertebrat krustasia (seperti haiwan Udang), moluska (haiwan bercangkerang), gastropoda (siput dan lintah) antara lain, pelbagai jenis plankton, dan burung-burung, mamalia, reptilia dan amfibia yang mendiami ekosistem tersebut.

Terdapat 20 lokasi di sepanjang selat dari mana sampel ekologi diambil menggunakan piawaian dan amalan antarabangsa yang diterima pakai.

Beliau berkata pada masa yang sama, kesan pencemaran yang mungkin, termasuk tumpahan minyak, terhadap penduduk kawasan pantai, juga sedang dikaji.

“Kami mempunyai satu pasukan 15 orang, termasuk penyelidik dari Fakulti Ekonomi, Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kejuruteraan dan IPP yang akan menjalankan penyelidikan.

“Mereka akan mengkaji pencemaran dan hakisan pantai, dan kesan kepada rakyat yang tinggal di kawasan pantai. Kami ingin mengetahui sama ada mata pencarian nelayan terjejas, pendapatan mereka, berapa banyak bot-bot nelayan yang mereka ada. Kesan sosio-ekonomi akibat pencemaran alam sekitar adalah amat penting.

“Kami mempunyai data sejak tahun 1990 yang akan menyediakan maklumat berterusan untuk analisis,” beliau menyatakan.

Turut hadir pada majlis menandatangan kontrak tersebut ialah Pro Naib  Canselor (Strategi dan Pembangunan Korporat) Prof Datuk Dr Mohd Marzuki Mustafa , Ketua Pegawai Eksekutif Mirza Safri Sufian dan Pengarah Pembangunan Perniagaan UKM Pakaruding Syamsul Amri Abdul Razak.ukmnewsportal-bm
02

03

04