Graduan Menjadi “Bintang Seni” di Majlis Konvokesyen

01
Laporan dan Foto oleh Siti Aisyah binti Muhammad

Fadhli Hariz bin Fayahet bersama ‘anugerah’

BANGI,  3 Nov 2015 –  Memiliki aura penghibur berserta vokal yang mantap, seorang graduan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) Fadhli Hariz bin Fayahet, diberi penghormatan untuk membuat persembahan nyanyian sambil memakai jubah konvokesyen UKM yang ke-43.

Fadhli Hariz , 22, mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik,  mendendangkan  lagu-lagu medley Nuri, Permata Pemotong Permata dan Kemelut di Muara Kasih ketika sidang  konvokesyen ke 4, 5 dan 6.

“Saya mula menceburkan diri dalam bidang nyanyian sejak tahun pertama ketika Minggu  Mesra Pelajar. Bakat saya dicungkil dan diserap masuk dalam kumpulan nasyid UKM dan Artisukma. Sejak itu, saya mula aktif menyanyi pelbagai genre muzik.” katanya ketika ditemubual di sini hari ini.

Sepanjang pengajian selama tiga tahun di UKM, Fadhli sering membuat persembahan dan mengikuti pertandingan nyanyian seperti Malam Bintang UKM,  pertandingan nasyid IPTA MAKUM,  nasyid ASEAN, lagu patriotik di Institusi Pengajian Tinggi(IPT) dan pertandingan nyanyian anjuran kolej kediaman di UKM.

Selain itu, beliau pernah mewakili UKM membuat persembahan nyanyian di Festival Kesenian Universiti Malaysia(FestKUM) di Terengganu dan Sabah, persembahan di Konsert  Diraja UKM dan majlis penutup Global Student Leadership Program di Korea Selatan.

Selain menyanyi, beliau diberi mandat untuk menjadi juri profesional untuk pertandingan nyanyian di kolej-kolej di UKM dan juga pertandingan nyanyian di Agensi Nuklear.

Minat beliau terhadap bidang nyanyian jelas terbukti sejak di bangku sekolah lagi. Ternyata, usaha beliau mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Seni Vokal dan Anugerah Seni Mahasiswa peringkat UKM.

“Buat masa ini saya membuat kerja sambilan dengan Pusat Kebudayaan UKM. Apabila ada sesuatu majlis, mereka memanggil saya untuk menyanyi. Jika ada rezeki, saya ingin mengembangkan karier saya dalam bidang seni dan menyambung pelajaran ke peringkat Master dalam jurusan Pengurusan Seni di UKM.”

Beliau turut berpesan kepada pelajar UKM yang mempunyai bakat terpendam boleh menghadiri kelas-kelas pemantapan kebudayaan  dan kesenian di Pusat Kebudayaan UKM secara percuma tetapi sebagai seorang pelajar, mereka perlu pandai seimbangkan antara aktiviti kesenian dan kebudayaan dengan pelajaran.ukmnewsportal-bm

02