Guna Penyelidik Dan Cendekiawan Untuk Jana Pendapatan – NC UKM

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 13 Nov 2015 – Semua universiti awam (UA) perlu menggunakan kepakaran dan intelektual bagi memperdagangkan produk hasil penyelidikan sedia ada untuk menjana pendapatan institusi masing-masing.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata dalam masa yang sama UA mampu untuk menawarkan perkhidmatan rundingan dan kepakaran bernilai tinggi.

“Di UKM, kita mempunyai syarikat seperti UKM Holdings Sdn Bhd, UKM Pakarunding Sdn Bhd dan UKM Kesihatan Sdn Bhd yang mampu menyumbang peningkatan pendapatan universiti,” katanya pada sidang media Bajet 2016 di sini pada 30 Oktober lepas.

Beliau berkata langkah itu akan dapat memberi ketahanan kepada universiti awam supaya lebih berdikari dan menjana pendapatan dan kekayaan sendiri.

“Kecemerlangan pendidikan tidak akan terjejas kerana kebanyakan UA terutamanya universiti penyelidikan berupaya menggarap keupayaan untuk menjana pendapatan masing-masing.

“Jadi dalam secara keseluruhannya, penurunan bajet untuk institusi pengajian tinggi tidak akan menjejaskan pencapaian pendidikan tinggi negara. Ia juga tidak akan disusuli dengan kenaikan yuran pengajian tetapi ia akan digarapkan dengan usaha yang lebih fokus dan strategik oleh universiti untuk kita meningkatkan penjanaan supaya kita menjadi lebih financially sustainable,” katanya.

Kata Prof Noor Azlan, UKM mempunyai Keberhasilan Utama (KRA) dan seiring dengan apa yang dihasratkan oleh kementerian, KRA kelima menekankan tentang penjanaan pendapatan dan mengoptimumkan aset yang ada.

“Banyak daripada kegiatan penyelidikan kita sebenarnya dijalankan secara kolaboratif dengan pihak swasta seperti Yayasan Sime Darby yang merupakan rakan strategik kita dalam penyelidikan dan meningkatkan minat masyarakat terhadap STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

“Selain itu, kita juga menjalankan kerjasama dengan Felda, Exxonmobil dan Standard Charted yang berkolaborasi untuk menangani isu-isu autisme serta Samsung yang berkerjasama dengan Advanced Surgical Skills Centre yang menawarkan perkhidmatan perubatan,” katanya.

Prof Noor Azlan berkata semua UA perlu menggunakan secara optimum aset universiti yang bernilai tinggi bagi membantu meningkatkan penjanaan universiti.

“Secara umumnya saya merasakan kesan daripada penurunan bajet tidak akan sama sekali menggugat kita (universiti) untuk meneruskan agenda kecemerlangan universiti malah ia seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan (Pengajian Tinggi) yang telah diumumkan pada April lepas,” katanya.

Pada pembentangan Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Oktober lepas, peruntukan yang diberikan oleh kerajaan kepada Institusi Pengajian Tinggi telah menurun kira-kira 15 peratus berbanding tahun lepas.ukmnewsportal-bm
02

03

04