HCTM Juara Sukan Antara Gugusan UKM 2016

1.
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman dan Izwan Azman

BANGI, 1 Julai 2016 – Gugusan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)  dinobatkan sebagai johan keseluruhan Sukan Staf antara Gugusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2016 apabila meraih lapan pingat emas, empat pingat perak dan tiga pingat gangsa.

Dengan kemenangan itu, HCTM telah membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 dan piala pusingan.

Tempat kedua telah dimenangi oleh Gugusan Sains yang mengumpul enam pingat emas, lima perak dan lima gangsa. Gugusan itu memperoleh wang tunai bernilai RM750.

Manakala Gugusan Pentadbiran berada di tempat ketiga setelah merangkul tiga emas, empat perak dan dua gangsa. Gugusan tersebut menerima wang tunai RM500.

Untuk acara perbarisan, Gugusan Pentadbiran diangkat sebagai juara apabila memungut 200 markah dan meninggalkan gugusan Kesihatan di tempat kedua dan Gugusan Perkhidmatan di tempat ketiga.

Juara bagi acara perbarisan membawa pulang wang tunai RM1,500 dan Piala Pusingan.

Sebanyak 24 acara dipertandingkan termasuklah olahraga, tenpin boling, bola jaring, bola tampar, tenis, catur, golf, skuasy, sepak takraw, dart, karom dan boling padang.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dalam ucapannya pada upacara menyampai hadiah berkata sukan staf adalah platform persediaan untuk melengkapkan diri ke Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) yang akan diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Selain itu, beliau memberitahu bahawa sukan bukan sahaja dalam konteks untuk memenangi acara semata-mata tetapi ia turut mengetengahkan daya saing, kerja berpasukan, keseragaman, jati diri dan semangat.

“Melalui sukan juga semangat kita sebagai warga UKM akan terjalin dan akrab antara satu sama lain,” tambah beliauukmnewsportal-bm
2