Jadikan Kuala Gula Tapak Ramsar – Ahli Parlimen Bagan Serai

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 14 Ogos 2015 –Kawasan tanah lembap Kuala Gula di bagan Serai harus diisytiharkan  sebagai tapak Ramsar supaya kawasan itu terus terpelihara dan menjadi tarikan pelancong.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali berkata kawasan yang mempunyai kepelbagaian biodiversiti itu harus dipulihara bagi memastikan hidupan marin di kawasan itu terus terpelihara.

“Program SEE Nature yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kawasan itu merupakan satu program yang sangat bagus kerana ia adalah program yang dilaksanakan untuk memupuk kecintaan terhadap alam sekitar.

Seek, embrace and educate (SEE) iaitu memerhati kepelbagaian biologi, menghayati sains alam dan mendidik generasi muda adalah bertepatan dengan hasrat kita yang mahukan generasi muda memupuk kesedaran memulihara alam sekitar menerusi pemerhatian, penghayatan dan pendidikan berdasarkan pengalaman dan sekaligus impian untuk menjadikan Kuala Gula sebagai tapak Ramsar menjadi kenyataan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian Pelancaran Logo dan Modul SEE Nature yang dianjurkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi, UKM di sini.

Ramsar merujuk kepada Konvensyen Ramsar, suatu perjanjian antarabangsa bagi pemuliharaan dan penggunaan lestari tanah lembap, kesedaran fungsi-fungsi asas ekologi tanah lembap dan nilai ekonomi, budaya, saintifik, dan rekreasi. Ia dinamakan sempena bandar Ramsar Iran, di mana Konvensyen telah ditandatangani pada tahun 1971.

Beliau berkata pelajar-pelajar yang menyertai program itu diterapkan dengan budaya kecintaan terhadap alam sekitar seterusnya memupuk semangat cintakan alam sekitar kepada penduduk setempat terutamanya generasi muda.

“Kuala Gula merupakan kawasan yang sangat istimewa kerana ia mempunyai 160 spesis hidupan di situ. Pelancong juga boleh melihat keindahan kelip-kelip pada waktu malam. Jika ada kerosakan pada alam sekitar dan tidak ada keseimbangan alam sekitar, pembangunan yang dibuat akan merosakkan habitat di kawasan itu, maka kawasan itu akan terjejas,” katanya.

Katanya para pelajar dan penyelidik boleh melakukan kajian di kawasan itu kerana kawasan Kuala Gula mempunyai pokok bakau yang banyak.

“Kalau kita tak jaga dan seimbangkan alam sekitar di kawasan itu, ia akan merosakkan habitat dan kita akan melihat pupusnya hidupan marin seperti ketam, udang, kerang dan ikan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata program SEE Nature telah dilaksanakan sebanyak lima kali sejak tahun 2012

“Program ini mempunyai dua pendekatan iaitu peserta memerhati dan menghayati ekosistem alam semula jadi dan kemudian dilatih oleh pensyarah, NGO (badan bukan kerajaan) dan pemegang taruh untuk membangunkan modal pendidikan.

“Melalui hasil pendidikan ini, pelajar UKM dipertanggungjawabkan sebagai fasilitator kepada pelajar sekolah dan penduduk tempatan tentang kepentingan kepelbagaian biologi,” katanya.

Beliau berkata pendekatan yang digunakan itu telah berjaya mengasah kemahiran generic termasuklah daya inisiatif , proaktif dan kreatif para peserta untuk memulihara alam semula jadi serta menanam minat pelajar sekolah terutamanya dalam bidang sains melalui keterlibatan dengan komuniti setempat.

“Selain itu, SEE Nature dapat mempertingkatkan keyakinan pelajar UKM untuk berinteraksi dengan pemegang taruh dan menjana persepri positif pemegang taruh terhadap graduan UKM,” tambahnya.

Prof Noor Azlan berkata program seperti itu amat diperlukan oleh negara tatkala khazanah negara berada di tahap ancaman kritikal di abad ini.

“Usaha mengadakan program ini amatlah disokong dan semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan supaya alam flora dan fauna kita akan terus hidup dan mampu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Seramai 20 pelajar dari FST mengikuti program itu yang diadakan selama enam hari bermula 7 hingga 13 Ogos 2015 di Kuala Gula, Perak.ukmnewsportal-bm
4

3

2