Kajian Ketidaksamaan Sosial dan Ekonomi Di UKM

Kajian Ketidaksamaan Sosial dan Ekonomi Di UKMOleh Radzuan Hj Ghazali
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 16 Januari 2015 – Sebuah Institut untuk menjalankan kajian mengenai soal ketidaksamaan sosial dan ekonomi dalam masyarakat dengan menekankan pembangunan dan kemajuan ekonomi bersifat inklusif untuk mengecilkan jurang perbedaan pendapatan rakyat (MINDA) telah ditubuhkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin merangkap Menteri Pendidikan ketika mengumumkan penubuhannya hari ini berkata pertumbuhan ekonomi sahaja tidak mencukupi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju kiranya nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan sosial tidak wujud dalam masyarakat.

Beliau berharap semua institusi pendidikan dalam negara dapat memainkan peranan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara berlaku bersama pembahagian kekayaan yang adil dan saksama.

“Wajarlah penubuhan MINDA ini diadakan kerana keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar menjadi penentu kesejahteraan hidup generasi masa hadapan”, tambah beliau ketika berucap di Majlis Perutusan Tahun 2015 Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh, Timbalan-timbalan Menteri, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P Kamalanathan, Ketua Setiausaha Tan Sri Dr Madinah Mohamed, Pengerusi-pengurusi Lembaga Pengarah Universiti, Naib-naib Canselor Institusi Pengajian Tinggi Awam serta pegawai-pegawai kanan Kementerian.

Muhyiddin juga menggariskan tiga cabaran yang perlu dihadapi untuk merealisasikan matlamat dan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM-Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini.

Ia adalah satu usaha untuk melahirkan bakat terpelajar yang dikehendaki supaya transformasi negara menuju ekonomi yang dipacu ilmu pengetahuan akan tercapai, tambah beliau.

Cabaran pertama, katanya, ialah merekebentuk kurikulum holistik menerusi penilaian semula disilipin ilmu di institusi pendidikan tinggi dengan melihat kepada pendekatan antara pelbagai disiplin, bentuknya serta teknologi yang belum dicipta.

Cabaran kedua adalah untuk memperkasa penyelidikan dan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dapat membantu industri tempatan khasnya Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) supaya dapat berkembang dengan pesat.

Cabaran ketiga adalah untuk memperkukuhkan kedudukan universiti di peringkat antarbangsa menerusi dua strategik utama iaitu memantapkan jaringan kolaborasi dengan negara-negara luar serta menaikkan ranking universiti.

Sehingga kini, beberapa memorandum telah ditandatangani dengan negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Jerman, Korea, Perancis dan United Kingdom supaya pelajar Malaysia mendapat faedah di arena global, penyelidikan, pengkomersilan dan produktiviti negara”, kata beliau.

Muhyiddin menyarankan ahli-ahli akademik meneroka bidang pengurusan bencana yang menjadi semakin penting kerana ia akan dapat mengelakkan kerugian berbilion ringgit akibat dari kerosakan infrasktruktur dan kemusnahan harta benda.

“Justeru itu saya mengumumkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Negara dengan memfokuskan kepada aspek pengurusan bencana dan juga pemberian dana penyelidikan khas dalam bidang berkenaan dan mitigasi banjir sebanyak RM20 juta yang boleh dipohon menerusi Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Fudamental (FRGS).

Beliau juga berharap semua warga kementerian menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan di samping menyeru semua pelajar memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran mereka.

Muhyiddin juga telah menyampaikan Sijil Watikah Autonomi kepada Lima buah Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Teknikal (UTEM).
ukmnewsportal-bm