Kajian Terhadap Persuratan Melayu Zaman Silam Perlu Ditingkatkan

Call To Step Up Study On Historical Malay LettersOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Bin Osman

BANGI, 24 Februari 2014 – Lebih banyak kajian perlu dilakukan terhadap surat-menyurat masyarakat Melayu zaman lampau kerana ia memiliki seni yang halus dan mempunyai banyak unsur-unsur bahasa, budaya dan alam.

Prof Madya Dr Abd Razak Abd Karim dari Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) berkata bangsa Melayu akan menyesal kelak kiranya penyelidikan terhadap manuskrip lama Melayu demikian, khasnya surat-menyurat, diabaikan.

Beliau telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Manuskrip Surat-Surat Melayu: Estetika Yang Diabaikan’ anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini baru-baru ini.

Dr Abd Razak berkata surat Melayu kuno adalah catatan bertulis yang memerlukan penelitian agar memberi manfaat kepada generasi kini.

Persuratan Melayu kurang diberi penekanan sehingga akhir abad ke-20 apabila ramai pengkaji mula melihat dan mengkaji serta membincangkan manuskrip demikian.

Yang penting mengenai manuskrip itu adalah kandungannya, iluminasi dan nilai seni serta estetika yang terdapat di dalam sesetengah surat, terutama yang diutuskan oleh seseorang pemerintah kepada pihak Barat atau sebaliknya.

Dari sudut estetika hiasan yang digunakan berunsur pelbagai jenis flora dan motif. Lakaran orang atau haiwan tidak digunakan oleh jurutulis memandangkan Islam menegah umatnya menggunakan figura manusia atau haiwan dalam apa jua hiasan.

Dengan itu unsur flora setempat digunakan sebagai ilham bagi menghiasi sepucuk surat, terutama surat yang di hantar oleh pembesar atau raja kepada pihak Barat seperti Belanda, Perancis atau British.

Perkara utama yang dipaparkan ialah penggunaan unsur alam semulajadi untuk melahirkan pelbagai perasaan yang mereka alami.

Di samping itu, unsur-unsur budaya diterapkan dalam surat-surat Melayu dalam bentuk iluminasi warkah-warkah serta penggunaan kaligrafi yang beraneka jenis serta bentuk.

Hiasan adalah bahagian terpenting sebelum sesuatu teks surat mula ditulis. Dalam budaya penulisan surat-surat Melayu pelbagai corak flora dan motif lain digunakan. Bentuk kubah bertingkat digunakan dan di dalam ruang antara kubah dan di bahagian tepinya beberapa motif lain pula digunakan.

Dr Abd Razak menerangkan Cop atau Mohor juga adalah unsur penting dalam persuratan, khanya watikah Raja-Raja. Estetika cap-cap Melayu terletak pada bentuknya dan juga seni hias yang digunakan oleh juru ukir.

Dari aspek budaya, cop merupakan pengganti diri seseorang pengirim surat. Ini disebabkan sepucuk surat rasmi yang tiada cop dianggap tidak sah dan tidak akan diterima oleh penerima surat. Perkara pertama yang akan diamati oleh seseorang penerima surat ialah cop yang digunakan dalam surat.

Dari segi bentuk pula pelbagai jenis digunakan, antara yang popular ialah bentuk bulat, lonjong, enam segi, lapan segi dan bulatan dengan beberapa kelopak. Bentuk-bentuk itu mempunyai falsafah tersendiri yang mewakili pemilik cop kerana raja atau pembesar akan menggunakan cop sehingga akhir hayat mereka yang mana mohor tersebut akan dikebumikan bersama jasad mereka.

Akhirnya, dalam bahagian penutup surat beberapa perkara akan diperkatakan oleh pengirim seperti salam mesra, pemberian hadiah, doa atau pun ungkapan indah dan beradat yang ditujukan khas kepada penerima.

Nilai estetikanya terkandung dalam bahagian pemberian hadiah dan juga pengucapan doa pengirim kerana kedua-dua bahagian ini memaparkan budi bahasa yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu, kata Dr Abd Razak.
ukmnewsportal-bm