Kata Dua Dari Bapa Dorong Kejayaan Lilian Lee

03
Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 3 Nov 2015 – Penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-43, Lilian Lee menjadikan cabaran ayahnya sebagai pendorong untuknya melakar kejayaan.

Bapanya, Lee Yee Woon memberikan kata dua kepadanya sama ada belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya atau bekerja di bengkel kereta milik bapanya telah membuatkan beliau berusaha untuk mengubah nasib keluarga.

“Sejak itu, saya mula menanam impian untuk berjaya dan menceburi pelbagai aktiviti di UKM selain memberikan tumpuan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya di sini.

Beliau berkata empat tahun lepas, beliau bukanlah seorang pelajar yang aktif. Beliau tidak menyertai apa-apa aktiviti kokurikulum tetapi beliau mempunyai impian untuk berjaya.

“Jadi, saya tekad untuk keluar dari zon selesa dan mula menyertai pelbagai pertandingan debat dan pengucapan awam disamping memberi fokus di dalam kelas” katanya.

Katanya beliau banyak bergaul dengan pelajar-pelajar senior dan aktif dalam bidang kesukarelawanan selain menyertai debat dan pidato bagi meningkatkan keyakinan diri apabila berdepan dengan masyarakat.

“Malah, semasa cuti semester saya banyak menghabiskan masa dengan menyertai pelbagai aktiviti universiti dan ternyata ia berbaloi dengan apa yang saya terima hari ini,” katanya.

Lilian yang merupakan anak sulung daripada dua beradik telah menyertai pelbagai pertandingan debat undang-undang termasuk diperingkat antarabangsa.

Sepanjang pengajiannya di UKM, beliau bersama pasukan debat Fakulti Undang-Undang UKM telah mewakili Asia Pasifik dalam Pertandingan Mahkamah Moot di Paris dan merangkul johan setelah menewaskan pasukan dari Eropah.

Selain itu, beliau dan pasukannya telah mewakili Malaysia dalam Pertandingan Undang-Undang Client Consultation peringkat antarabangsa di University of Glasgow, Scotland.

Selain berdebat, beliau juga turut terpilih mewakili Malaysia untuk program pertukaran di Amerika Syarikat pada awal tahun ini.

Lilian yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian (Cemerlang) dengan Purata Nilai Gred Komulatif 3.69 telah menerima Anugerah Dekan untuk empat semester.

Kini, beliau sedang menjalani latihan guaman di sebuah firma guaman di ibu kota.

Beliau berkata kejayaannya itu didedikasikan kepada kedua ibu bapanya yang sentiasa menyediakan keperluan untuk melihatnya berjaya selain pensyarah yang banyak memberi nasihat dan sokongan sepanjang empat tahun beliau di UKM.

“Mereka banyak memberi sokongan dan dorongan kepada setiap tindakan yang saya lakukan. Kawan-kawan juga sentiasa membantu dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang pengajian saya di sini,” katanya.

Anugerah Pelajaran Diraja telah disampaikan oleh Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan merangkap Canselor UKM, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.ukmnewsportal-bm
01