Kemarau Lebih Kerap Berlaku Akibat Perubahan Iklim – Pakar Air Korea

0001
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 13 Nov – Kekurangan air mungkin berlaku lebih kerap lagi kerana  Perubahan Iklim memberi kesan kepada ketersediaan air pada masa depan.

Ketika suhu bumi terus meningkat, impak buruk mungkin berlaku terhadap bekalan air tawar daripada banyak sumber air, kata Prof Dr Soontak Lee dari Universiti Yeungnam di Korea Selatan.

Penyejatan air juga naik, dan mungkin menyebabkan kemarau, kata Prof Lee dalam ceramahnya untuk Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Siri 16 Syarahan Umum di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada 5 Oktober lalu.

Selain itu, peningkatan suhu mencairkan ais glasier, sumber penting air tawar di seluruh dunia, pada kadar yang belum pernah berlaku, jelas beliau dalam syarahannya bertajuk Pengurusan Air Global untuk Keselamatan Air dengan Pengalaman Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai Korea.

“Perubahan iklim memberi kesan ketersediaan air di masa hadapan. Air terlalu sedikit dan ketersediaan sumber air yang boleh diperbaharui semakin berkurangan.

“Perubahan iklim dicerminkan dalam perubahan kitaran air dan cuaca yang ekstrim, dan ia adalah salah satu isu yang paling penting yang dihadapi oleh manusia pada abad ke-21,” katanya.

Beliau mengaitkan aktiviti manusia sebagai penyebab utama perubahan iklim.

Menurutnya, kerajaan Korea Selatan telah mengambil langkah baru-baru ini untuk mengurangkan kesan perubahan iklim seperti yang dinyatakan oleh Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Di Korea, kebanyakan empangan direka sebelum ada kesedaran perubahan iklim. Namun kini, kita sedar bahawa kita menghadapi krisis air.

“Selepas perindustrian, kami mempunyai penurunan kualiti air secara mendadak. Lima tahun lalu kami mengambil lebih tindakan dengan wujudnya pihak pengurusan air yang mampan, yang lebih mesra alam,”  jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa Korea Selatan hanya mempunyai satu per sepuluh daripada jumlah hujan tahunan Malaysia, jadi keselamatan air adalah sangat penting di negaranya.

Semua kawasan tadahan air utama dilindungi oleh Kerajaan Korea Selatan, sementara sebahagian besar lembangan sungai dipulihkan.

Kira-kira 16 empangan rendah dibina melintasi sungai-sungai untuk meningkatkan paras air hulu atau mengawal aliran, untuk menyimpan 800 juta meter padu air.

“Ia tidak mudah dilakukan. Ia bukan proses dari ‘atas ke bawah’. Untuk membina sebuah empangan mengambil masa 10 tahun, satu jangka waktu  yang lama, akibat proses bertolak ansur di antara pihak-pihak berkepentingan, orang ramai dan NGO. Ia adalah satu proses dari   ‘bawah ke atas ‘. Jadi NGO perlu memainkan peranan yang lebih besar dan suara orang ramai juga diambil berat. Perlu ada maklum balas daripada rakyat,” jelas beliau.

Mujurlah orang ramai telah memberi kerjasama dan rakyat umumnya mematuhi nasihat untuk menjimatkan air melalui pelbagai cara, tambah beliau.

Turut hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato ‘Dr. Mazlin Bin Mokhtar yang juga memberi pengenalan mengenai sumbangan Prof Lee dalam bidang pengurusan air.

Prof Lee ialah Profesor Hidrologi dan Kejuruteraan Sumber Air di Yeungnam University, Korea Selatan.

Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang sains hidrologi dan pengurusan sumber air dan juga pernah berkhidmat sebagai wakil kerajaan Korea Selatan kepada beberapa persidangan antarabangsa yang berkaitan dengan air seperti Persidangan Air PBB, UNESCO, WMO, ESCAP dan WWF.

Beliau memperolehi beberapa ijazah doktor falsafah, Ph.D., D.Sc. dan  Hon.D.Eng.Sc. dari Universiti di Korea dan  University of New South Wales, Australia, Universiti Tsukuba, Jepun dan Altai State University teknikal, Rusia.ukmnewsportal-bm
0002

0003

0004