Kepentingan dan Keseimbangan Penyebab Krisis Qatar


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 7 Julai 2016 –  Krisis yang berlaku antara Qatar dengan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir adalah disebabkan oleh kepentingan dan keseimbangan kuasa, kata Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahim Ahmad.

Beliau berkata itu adalah gambaran ringkas yang boleh diterjemahkan tentang krisis yang berlaku antara negara-negara Arab tersebut.

“Ia adalah disebabkan oleh keseimbangan kuasa.

“Keseimbangan perlu kerana Iran adalah satu kuasa yang digeruni manakala Qatar pula dianggap sebagai ‘budak nakal’.

“Dalam hal ini, Qatar mengambil pendirian menyokong Ikhwanul Muslimin,” katanya semasa menjadi ahli panel pada forum Bicara Persada ke-36 di sini.

Beliau berkata Qatar yang menyokong Ikhwanul Muslimin yang dikaitkan dengan keganasan hanya dijadikan alasan oleh negara jiran tersebut untuk berkrisis dan menafikan pandangan dunia.

Sementara itu, Prof Dr Kamaruzzaman Yusof dari Fakulti Ketamadunan Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata negara-negara Arab tersebut ‘membuli’ Qatar kerana kemungkinan ia akan memberi kesan kepada Turki dan Iran.

“Mereka tahu mereka akan gagal jika melakukan perkara yang sama kepada Turki dan Iran. Jadi, mereka buli ‘budak nakal’ ini dengan harapan ianya akan memberi kesan kepada kedua-dua negara tersebut,” terangnya.

Katanya beliau berharap agar Malaysia akan terus mengamalkan dasar berkecuali.

“Jika Malaysia mahu cuba mengangani krisis ini, saya berharap ia akan melibatkan penyertaan banyak pihak atau negara, bukannya sebelah pihak sahaja,” katanya.

“Namun, disebabkan ia tidak melibatkan wilayah kita, biarlah mereka selesaikan.

“Kita juga mengharapkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berperanan bukan sahaja dalam isu Qatar, tetapi juga isu Syria,” ujarnya.

Seorang lagi ahli panel ialah Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Abdul Muein Abadi.

Moderator adalah Penerbit Eksekutif Astro Awani Nazri Kahar.