Kerjasama Strategik Memupuk Kesederhanaan Tangani Isu Anti Islam

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 1 Mac 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Global Movement of Moderates Malaysia Foundation (GMMMF) menjalin kerjasama strategik bagi menangkis sikap anti Islam pada peringkat tempatan dan antarabangsa secara kesederhanaan.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata kerjasama itu mampu memangkinkan usaha UKM dan GMMMF melalui persidangan antarabangsa, penyelidikan, penerbitan, kolaborasi akademik dan aktiviti khidmat komuniti.

“Salah satu acara terdekat yang akan UKM adakan adalah Seminar Antarabangsa Islam dan Keamanan Global yang dianjurkan secara bersama GMMMF pada Mei depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan GMMMF baru-baru ini.

Beliau berharap persidangan itu nanti akan dapat menangkis persepsi negatif terhadap Islam atau Islamophobia,  terutama selepas peristiwa pengeboman di Turki dan Jakarta.

Beliau berkata ketika Perdana Menteri membentangkan idea kesederhanaan tersebut di Perhimpunan Aging Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu  (UNGA), beliau melihat setiap negara menawarkan diri untuk mengemukakan penyelesaian.

“Apabila saya diberitahu bahawa sambutan baik telah diterima daripada negara-negara luar, bagi saya ia menunjukkan bahawa satu pengiktirafan dan Malaysia offering to lead this moderation dan hari ini memang amat runcing sekali untuk kita memastikan keamanan global dapat dipertahankan,” terangnya.

Beliau juga berharap sarjana-sarjana di UKM dapat tampil untuk sama-sama menyumbang tenaga agar pergerakan sederhana dapat dibawa ketengah dan ke peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif GMMMF, Nasharuddin Mat Isa berkata kerjasama itu adalah untuk menggabungkan tenaga antara UKM dan GMMMF kerana UKM mempunyai sumber yang cukup banyak dari segi kepakaran dalam bidang penyelidikan dan akademik.

“Jadi, Malaysia sebagai model moderation berada di posisi yang cukup baik untuk mempamerkan dan mempromosikan kepada dunia tentang keperluan pendekatan kesederhanaan dalam kita menangani banyak isu di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa jika membincangkan tentang kesederhanaan, sudah banyak negara yang membincangkan perkara itu dan Malaysia juga turut menyokong kesederhanaan.ukmnewsportal-bm
02

03