Kolej Pendeta Zaba Sediakan 20 Bilik Penginapan Untuk Pelajar Tidak Berkemampuan

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 22 Julai 2016 – Kolej Pendeta Zaba (KPZ), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan 20 bilik penginapan untuk pelajar tidak berkemampuan tanpa mengenakan bayaran di bawah projek My KPZ Care bagi meringankan beban pelajar dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang mahasiswa.

Pengetuanya, Prof Madya Dr Ahmad Sunawari Long berkata idea projek My KPZ Care itu terhasil apabila pihaknya mendapat maklumat tentang kesusahan pelajar yang kurang berkemampuan untuk membayar yuran kolej.

“Ada antara pelajar kita terpaksa menghantar wang Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke kampung kerana kesusahan hidup. Jadi wang yang ada pada mereka itu tidak cukup untuk mereka teruskan kelangsungan hidup di sini,” katanya kepada Portal Berita UKM di sini.

Beliau berkata buat masa sekarang sebanyak 10 bilik telah siap diubahsuai manakala 10 bilik lagi sedang menunggu tajaan dari pihak luar.

“Kita telah menggunakan stor di setiap aras blok asrama untuk dijadikan bilik penginapan. Setiap bilik tersebut mendapat penajaan daripada syarikat, kumpulan atau individu yang prihatin yang mewakafkan bilik-bilik tersebut kepada pelajar yang layak.

“Nilai ubahsuai setiap bilik berharga antara RM6,000 hingga RM7,000. Ada antara penaja yang membuat pengubahsuaian sendiri iaitu dari segi pemilihan lantai, cat dan perabot dalam bilik. Ada juga antara mereka yang menyerahkan kepada pihak kolej untuk membuat pengubahsuaian,” katanya.

Beliau berkata pihak kolej telah mengenalpasti pelajar yang layak menginap di bilik-bilik tersebut untuk semerter 2016/2017.

“Untuk permulaan, kita buka kepada pelajar tahun dua dan ke atas, tetapi kita juga reserve beberapa bilik untuk pelajar tahun satu yang akan mendaftar di kolej ini. Selepas kita mendapat maklumat latar belakang pelajar-pelajar itu (pelajar tahun satu), kita akan menawarkan bilik tersebut kepada mereka,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa setiap bilik boleh diduduki oleh tiga orang pelajar dan mereka hanya dibenarkan menginap di bilik tersebut selama setahun sahaja.

“Kita hadkan tempoh penginapan hanya setahun sahaja kerana kita mahu bagi peluang kepada pelajar lain pula yang turut layak menginap di bilik tersebut,” jelasnya.

Dr Ahmad Sunawari berkata bilik-bilik tersebut bukan hanya diberikan kepada pelajar Islam sahaja malah pelajar dari bangsa lain juga boleh memohon.

“Jika ada pelajar dari kolej lain yang miskin dan tidak mampu, mereka boleh memohon bilik My KPZ Care, tetapi mereka perlukan membuat permohonan pertukaran kolej,” terangnya.

Katanya, beliau masih menunggu penajaan untuk 10 bilik lagi dan beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk memberi sumbangan kepada bilik-bilik tersebut.

“Jika ada mana-mana jabatan sama ada dalam atau luar UKM yang sudi menaja bilik-bilik lain, pihak KPZ sangat mengalu-alukan kerana ia adalah untuk kebaikan dan keselesaan pelajar-pelajar kita,” katanya.ukmnewsportal-bm
2