Kurang Daripada Separuh Kes Dera Isteri Diadili – KPWKM

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 20 Okt 2015 – Bilangan kes jenayah keganasan rumah tangga (KRT) semakin meningkat.

Namun demikian kurang daripada separuh jumlah kes KRT dapat di kemukakan ke mahkamah kerana beberapa faktor, kata Dato’ Zubaidah binti Md Ismail, Pakar Gender 1, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.

Di antaranya, si mangsa, yang majoritinya wanita, menarik balik aduan, atau suspek lari atau dan gagal dikesan, kata Dato’ Zubaidah ketika menyampaikan ceramah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

“Daripada 3,000 kes keganasan terhadap wanita, kurang daripada 40% dapat didakwa kerana aduan ditarik balik. Suspek pun hilang.

“Banyak kali kita dapat aduan dan tangkapan dibuat. Walau bagaimanapun, mangsa merayu supaya suami tidak didakwa dan dibebaskan dari lokap kerana anak menangis dan rindukan bapa.

“Ada juga kes yang mana suspek lari, dan ada yang pergi ke luar negara untuk mengelakkan daripada ditangkap dan menunggu sehingga keadaan reda,” kata beliau dalam ceramah bertajuk “Isu dalam Menangani Keganasan Terhadap Wanita, ” anjuran Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH).

Menurut beliau, walaupun masyarakat kini lebih berpengetahuan dan anggun, ramai isteri yang didera tidak mahu masalah mereka dihebohkan kerana perasaan malu.

“Masih ada persepsi, khasnya di kalangan isteri, yang diri mereka dan keluarga akan menanggung malu besar dan dipandang hina oleh masyarakat kerana perkara ini disifatkan sebagai soal peribadi yang perlu diselesaikan antara suami dan isteri,” katanya.

Ada pula isteri yang tiada tempat bergantung melainkan suami  kerana kemiskinan atau tiada pekerjaan.

“Mereka miskin dan tiada wang simpanan. Mereka tak tahu nak ke mana, tak tahu hak mereka dan risau kehilangan penjagaan anak,” katanya.

Menurut beliau negeri yang paling banyak kes terjadi adalah negeri Selangor, diikuti oleh Johor dan Kelantan.

Walaubagaimapun, Dato’ Zubaidah juga menegaskan angka itu merupakan bilangan kes, dan bukan peratusan.

“Kita perlu ingat bahawa Selangor dan Johor merupakan dua negeri yang paling ramai penduduk di semenanjung Malaysia.

“Kita juga sedar bahawa kes-kes yang dicatat mungkin tidak membayangkan gambaran yang sebenarnya, kerana sudah pasti ada kes-kes lain yang tidak dilaporkan kepada polis dan mangsa enggan pendera di bawa ke muka keadilan,” beliau menerangkan.

Turut hadir di ceramah ini pengarah (PKWTFH) Prof Madya Dr Madeline Berma.ukmnewsportal-bm

2

3