Larangan Menguna Polisterina Di Kampus

Polystyrene Packaging Banned From UKM CampusOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 6 April 2015 – Semua pengendali dan penjual makanan di Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilarang menggunakan kotak polisterina berkuat kuasa serta merta.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal berkata mereka hendaklah menggunakan pembungkus yang lebih mesra alam seperti kertas pembalut makanan.

Ketika melancarkan Kempen Kampus Sifar Polisterina di sini pada 1 April, Prof Noor Aziah berkata masalah besar di kampus ialah pembuangan sampah sarap dengan kotak-kotak polisterina.

Menurut beliau semua 9 kolej kediaman dengan 9,000 penghuni atau jumlah 15,000 orang termasuk kakitangan membuang pembungkus polestrina selepas sarapan pagi atau makan tengah hari di sekitar kampus.

UKM mempunyai 7 telaga tiub mata air yang pada suatu masa dahulu membekalkan air yang jernih.

Walaubagaimanapun, sisa kotak polistirena bersama beg-beg plastik  menyumbat beberapa telaga hinggakan ia menjadi perigi buta dan  sampah melimpah keluar.

Polisterina tidak mudah dihapuskan seperti sampah sarap lain dan ia akan mencemarkan kawasan kampus.

Menurut Prof Noor Aziah, masalah kekurangan air juga ada kaitan dengan terjejasnya operasi rawatan air kumbahan dari Sungai Langat di logi Bukit Tampoi baru-baru ini selama 6 hari.

Rupanya, salah satu faktor pencemaran ialah air yang mengalir keluar dari UKM dan memasuki Sungai Langat telah dicemari polisterina yang tidak dapat dilupuskan.

“Walaupun UKM mempunyai logi kumbahan air sendiri, rawatan air kumbahan tersebut masih mengandungi polisterina yang memasuki Sungai Langat,” jelas beliau.

Sehubungan itu, UKM bertindak mengurangkan kesan pencemaran air  akibat polisterina dengan melarangkan pengunaannya.

“Jadi kempen ini kempen permulaan. Kita jemput kafeteria dan restoran untuk kurangkan pencemaran air. Semua kafe di UKM telah dapat dari pejabat saya surat supaya tidak guna polisterina, tetapi guna biodegradable packaging, atau bungkus makanan untuk bawa pulang,” beliau menerangkan.

Pada pelancaran kempen tersebut, wakil-wakil kafeteria dan restoran menerima poster-poster kempen kampus sifar polisterina daripada Prof  Noor Aziah.