Lebih 70% Rakyat Malaysia Percayakan Kerajaan – Tinjauan 10 Tahun

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Pix Izwan Azman

BANGI, 15 Dis 2015 – Lebih daripada 70% rakyat Malaysia mempunyai “amanah cukup kuat” terhadap badan eksekutif kerajaan, yang lebih kurang sama dengan negara-negara lain dalam Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Rakyat Malaysia secara amnya juga yakin dengan badan penggubal undang-undang negara, kata Profesor Sains Politik di Universiti Ipek di Turki, Prof Dr Bridget Welsh.

Prof Welsh berkata tahap kepercayaan rakyat Malaysia di kedua-dua institusi utama kerajaan biasa sahaja jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN yang lain.

“73% rakyat Malaysia ada kepercayaan kuat terhadap pejabat eksekutif (kerajaan) dan 68% untuk parlimen. Tahap kepercayaan rakyat Malaysia di kedua-dua institusi utama adalah di tengah-tengah berbanding dengan negara ASEAN lain,” katanya pada seminar anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini pada 3 Disember lalu.

Menurut Prof Welsh, yang juga Penyelidik Kanan di National Taiwan University (NTU), keyakinan kepada angkatan tentera dan polis juga tinggi.

“85% daripada rakyat Malaysia mempunyai kepercayaan tinggi kepada tentera manakala 72% percayakan pasukan polis,” katanya yang dipetik daripada butiran pada bentangan bersama memperincikan penyelidikan Malaysia 4th Wave (2013- 2015) Asia Barometer Survey yang membandingkan sikap rakyat Malaysia dengan negara-negara jiran serantau mereka.

Kaji selidik itu, yang berakhir pada bulan Jun 2015, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia secara umumnya mempunyai penglibatan yang rendah dalam aktiviti politik walaupun peratusan keluar mengundi yang tinggi, 83% pada pilihan raya umum lepas.

“Kehadiran pengundi adalah tinggi, dengan lebih daripada 80%, tetapi penyertaan dalam aktiviti politik yang lain adalah agak rendah iaitu 31%”, beliau menjelaskan.

Prof Welsh, yang juga Felo Kanan Bersekutu Charles Darwin University di Australia, menerangkan bahawa kajian itu tidak mengambil kira persepsi orang ramai terhadap kerajaan dan para pemimpinnya pada Jun 2015 dan selepas itu.

Memberi maklumat lanjut, beliau beritahu bahawa 43% rakyat Malaysia mengikuti berita politik beberapa kali seminggu atau setiap hari, yang merupakan ketiga terendah di ASEAN selepas Indonesia dan Singapura, tetapi 55% daripada mereka yang menjawab kaji selidik mengikuti berita.

Kaji selidik itu mendapati bahawa Akses kepada perkhidmatan awam adalah yang paling mudah di rantau ini dan lebih daripada majoriti yang menggunakan internet setiap hari.

“59% rakyat Malaysia menggunakan internet setiap hari, yang kedua tertinggi selepas Singapura dengan 88%,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, rakyat Malaysia juga berpendapat mereka kurang bersuara dalam politik berbanding dengan jiran-jiran mereka.

“Tetapi berbanding dengan negara-negara lain, hanya 37% rakyat Malaysia fikir mereka mempunyai apa-apa kesan kepada politik, ketiga terendah selepas Indonesia dan Filipina,” beliau menyatakan.

Tahap keyakinan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya telah meningkat dari masa ke masa, dan bukan merosot. Kepercayaan teras juga telah meningkat.

“Warga emas Malaysia mempunyai tahap kepercayaan yang lebih tinggi terhadap institusi-institusi negara berbanding generasi muda,” tambah beliau.

Prof Welsh banyak menulis mengenai politik Malaysia di antara isu yang lain di Asia Tenggara dan telah mengarang sebuah buku mengenai mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Peringkat kedua kajian ini telah dijalankan oleh Pusat Merdeka for Opinion Research, dan wakilnya Tan Seng Keat menjelaskan bagaimana ia menjalankan penyelidikan dalam pembentangan bersama tersebut.

Mereka juga menggunakan data awal daripada penyelidikan peringkat keduadan ketiga yang dikupaskan oleh Biro Perangkaan Australia.

Turut hadir pada seminar itu Pengarah IKMAS Prof Dr Rashila Ramli.
ukmnewsportal-bm

0203

04