Malaysia Atasi Korea Selatan Dalam Beberapa Sektor – Duta Korea

01Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 16 Jun 2015 – Malaysia lebih maju daripada Korea Selatan dalam pembangunan sosial dan perpaduan.

Walaupun Korea Selatan memberi perhatian kepada pertumbuhan ekonomi terutamanya sektor industri berat dan teknologi tinggi, Malaysia mendapat perhatian dunia kerana mengekalkan keharmonian dan toleransi sosial, kata Duta Besar Republik Korea, Cho Byungjae.

Beliau berkata Malaysia yang menumpukan kepada industri halal, pelancongan dan kewangan, telah mendahului Korea Selatan dalam beberapa sektor.

“Korea juga perlu belajar dari Malaysia cara untuk mengetengahkan produk halal kerana Korea juga mempunyai rakyat beragama Islam dan pelancong Islam,” kata Cho semasa menyampaikan Siri Syarahan Global Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan Korea: Ke Arah Perkongsian Masa Depan, di sini semalam.

Syarahan ini dianjurkan oleh Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM Global).

Menurut beliau selain dari hubungan politik dengan Malaysia, hubungan antara rakyat Korea Selatan dan Malaysia juga turut menjadi faktor utama dalam kelangsungan hubungan antara dua negara.

“Korea terkenal dengan budaya k-wave. K-wave adalah fenomena hiburan di Korea yang telah menyelusuri seluruh pelosok dunia termasuk Malasyia iaitu drama TV, filem, muzik, selebriti, makanan dan banyak lagi.

“Melalui saluran ini, rakyat Malaysia mula datang ke Korea dan ini telah meningkatkan sektor pelancongan Korea Selatan,” katanya.

Cho berkata walaupun hubungan diplomatik kedua-dua negara telah terjalin sejak tahun 1960an, catatan sejarah menunjukkan bahawa hubungan antara rakyat dengan rakyat kedua-dua negara telah berlaku sejak abad ke-19 lagi.

“Kedua-dua negara boleh belajar antara satu sama lain dan mewujudkan formula yang baik untuk pertumbuhan ekonomi dan sosial yang seimbang,” Cho menerangkan.

Katanya rakyat Korea juga tidak ketinggalan untuk datang ke Malaysia malah mereka telah memilih Malaysia sebagai destinasi percutian kerana keindahan muka bumi Malaysia dan kepelbagaian budaya yang unik yang ada di Malaysia.

“Melalui cara ini, Korea dan Malaysia boleh memperluaskan kerjasama dua hala dan masa depan hubungan ini amat cerah,” ujarnya.

Cho berkata perkongsian budaya melalui pertukaran rakyat telah mencatatkan peningkatan sebanyak 40 peratus pada tahun lepas berbanding tahun 2013 dan daripada jumlah 650,000 orang hasil pertukaran rakyat dengan rakyat pada tahun 2014, seramai 400,000 orang adalah pelancong dari Korea Selatan ke Malaysia.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali berkata UKM telah memeterai lebih 25 Memorandum Persefahaman (MoU), Memorandum Perjanjian (MoA) dan Surat Hasrat (Lol) dengan pelbagai institusi pendidikan di Korea.

Beliau berkata UKM telah terlibat secara aktif dengan institusi pendidikan dan penyelidikan di Korea, antaranya Daegu Health College, Chonnam University, Soul University of Technology dan Korea University bagi program penyelidikan, seminar dan program mobiliti pelajar dan staf.

“Saya harap, dengan adanya syarahan ini, lebih banyak lagi memorandum dimeterai dari tahun ke tahun,” kata Prof Noor Azlan.

Beliau berkata sejak lima tahun lepas, UKM telah menerima lebih 20 pelajar Korea melalui program mobiliti pelajar dan bilangan itu dijangkakan akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang.

Katanya UKM melalui Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM Global) akan terus memupuk hubungan dua hala dengan Korea Selatan bagi meneruskan kerjasama antara dua negara.

02

03

04