Pakar Ortopedik PPUKM Terima Tiga Pingat Emas di Jerman


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

CHERAS, 20 Nov 2017 – Pakar Ortopedik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Mohd Yazid Bajuri memenangi tiga pingat emas di International Trade Fair IENA 2017 di Jerman, baru-baru ini.

Beliau memenangi pingat emas bagi inovasi bertajuk Development of Total Ankle Replacement Digital Templating Software (MyAnkleTM), Development of Bone Scaffold Using Rapid Prototyping System Integrated with Tisu Engineered Cells dan My Ankle Fixator.

Prof Madya Dr Mohd Yazid berkata dua daripada inovasi itu telah mendapat pengesahan harta intelek (IP), iaitu MyAnkleTM dan Development of Bone Scaffold Using Rapid Prototyping System Integrated with Tisu Engineered Cells.

“Saya menemui cara mudah untuk menentukan saiz implan yang lebih tepat melalui bantuan computer, melalui pengalaman dan pengamatan saya semasa menjalankan pembedahan pertukaran sendi buku lali.

“Sebelum ini saya menggunakan cara konservatif. Melalui kaedah komputer yang digunakan, ia dapat mempercepatkan proses pembedahan dan dalam masa yang sama ia membantu mengurangkan kos kepada pesakit dan hospital,” jelasnya.

Tambahnya, beliau telah mendapat persetujuan daripada pihak hospital untuk menggunakan Development of Bone Scaffold Using Rapid Prototyping System Integrated with Tisu Engineered Cells kepada pesakit.

“Ini adalah pesakit yang pertama di Malaysia dan di dunia yang akan dirawat menggunakan kaedah tersebut untuk memanjangkan tulang.

“Jika terdapat kerosakan pada tulang, kerangka (bone scaffold) itu akan cuba memperbaiki kerosakan tersebut dan tulang itu tidak akan menjadi pendek.

“Kerangka tersebut bertindak sebagai jambatan untuk sel-sel tulang berkomunikasi antara satu sama lain,” katanya.

Prof Madya Dr Mohd Yazid berkata pembedahan pertama untuk pesakit yang akan menggunakan inovasi development of bone scaffold telah dijalankan pada dua bulan lepas dan pesakit itu masih dalam rawatan susulan.

“Pelan pada masa akan datang adalah untuk memasarkan ke hospital di Malaysia dahulu menggunakan kaedah yang terbaru ini.

“Jika keputusan daripada pesakit yang kita jalani pembedahan itu memberansangkan, ia adalah satu cara kepada saya untuk memperbanyakkan human trial.

“Mungkin selepas ini kita akan buat kepada lima hingga 10 pesakit dan apabila mendapat bukti yang kukuh bahawa kaedah ini adalah kaedah yang berkesan, barulah pakar bedah dari tempat lain akan menggunakan kedah ini sebagai salah satu cara perubatan alternatif mereka,” katanya.

Inovasi ketiga dan terbaru hasil ciptaan beliau yang turut menerima pingat emas ialah My Ankle Fixator, iaitu satu inovasi yang membantu pergerakan sendi buku lali yang baru (buku lali besi).

My Ankle Fixator adalah besi yang diletak dibahagian luar bagi menggerakkan buku lali dalam keadaan tertentu. Fixator itu dapat menghalang buku lali daripada kaku selepas luka baik dan dalam masa yang sama luka itu dapat dirawat,” terangnya.