Pakar Perubatan UKM Terima ‘Anugerah Saintis Muda Antarabangsa di Perancis


Oleh Iznee Isa & Alyani Azhar
Foto Shaiddan Saidi

CHERAS, 12 Julai 2017 – Pakar Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Prof Dr Srijit Das menerima pengiktirafan antarabangsa apabila menerima Anugerah Saintis Muda Antarabangsa di Perancis baru-baru ini.

Beliau menerima anugerah itu melalui penyelidikan berkenaan rawatan kencing manis (diabetis) menggunakan produk semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan.

Prof Srijit Das menjalankan penyelidikan itu dengan penyelidik bersama, Dr Teoh Seong Lin.

Katanya penyelidikannya dibuat dengan menggunakan suntikan streptozocin kepada tikus untuk mengkaji penyembuhan luka.

“Suntikan adalah menggunakan ekstrak peria (momordica charantia), daun kaduk (piper betle) dan sirih (piper sarmentosum),” katanya.

Beliau berkata ekstrak herba digunakan sebagai tampalan pada luka tikus-tikus tersebut dan proses penyembuhan diperiksa kemudian.

“Penggunaan produk semulajadi untuk penyembuhan luka pada tikus menunjukkan hasil kajian yang positif,” ujar pakar perubatan itu.

Pelajar Sarjana beliau, Dr Amro dan penyelidik bersama, Dr Norzana juga memperoleh keputusan yang positif dalam kajian mereka yang menggunakan minyak kelapa dara pada luka pesakit diabetis.

“Saya berharap kajian akan datang dapat membangunkan biofilm untuk penyembuhan luka pesakit diabetis Kami juga akan menggunakan beberapa asas molekul kajian dan akan membantu dalam mengkomersilkan produk,” tambahnya.

Beliau memberitahu bahawa mereka mahu membuat perbandingan di antara rawatan menggunakan produk semulajadi dengan ubat antibiotik konvensional untuk mengetahui yang mana lebih berkesan.

Penyertaan beliau dalam ‘International Conference of Phytochemical Society of Europe’ turut membantu beliau berinteraksi dengan para saintis dari luar negara termasuk dari Itali dan Perancis.

Prof Dr Srijit Das bukan sahaja mewakili Malaysia tetapi juga satu-satunya wakil dari negara Asia yang memenangi anugerah tersebut.

Selain itu, beliau telah menerima beberapa anugerah untuk kajiannya yang lain termasuk Anugerah PECIPTA Peringkat Kebangsaan dan Anugerah Teknologi Antarabangsa di Belgium.

Beliau berharap graduan perubatan dan penyelidik UKM akan lebih bersemangat dan berdedikasi untuk menjadi lebih berjaya pada masa hadapan.