Pelajar Antarabangsa Papar Bakat di UKM 1st World Art Festival

01
Oleh Hazirah Rahim
Foto Hafiz Adnan

BANGI, 13 Jan 2016 – Seramai 60 pelajar antarabangsa dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Mexico, China, Kazakhstan, Mozambique, Iran, Nigeria, Iraq, Jerman dan Malaysia telah menyertai UKM 1st World Art Festival (UKMWAF) yang diadakan baru-baru ini.

Pengarah UKMWAF, Nursyamimi Syahira Saripan berkata objektif penganjuran program tersebut adalah untuk memperkenalkan seni budaya bertaraf antarabangsa kepada masyarakat kampus dan sekitarnya disamping mempamerkan budaya Malaysia kepada masyarakat dunia.

“Penganjuran program ini tidak hanya fokus keseniaan dan kebudayaan semata-mata, tetapi kami turut membawa semua delegasi ini melakukan khidmat seni masyarakat di Pusat Perubatan UKM, untuk memberikan terapi berbentuk seni kepada pesakit-pesakit di sana,” katanya.

Beliau yang merupakan pelajar tahun dua Pengajian Media dan Komunikasi UKM berkata pelbagai aktiviti dirangka sepanjang program yang berlangsung selama seminggu mulai pada penghujung bulan November lalu termasuklah ‘Diskusi Budaya’, ‘Persembahan Poket’ dan lawatan di sekitar Kuala Lumpur.

Persembahan malam gala turut diadakan dan menampilkan pelbagai persembahan menarik, antaranya tarian, nyanyian, sketsa komedi dan muzik daripada peserta-peserta negara lain.

“Sambutan terhadap program ini amat menggalakkan daripada pelajar UKM dan juga masyarakat di sekitar. Malam persembahan ini telah dibanjiri kira-kira 2,000 penonton memandangkan tempat duduk dewan penuh dan ianya adalah sesuatu yang diluar jangkaan,” katanya.

Katanya beliau berharap UKMWAF dapat menjadikan mahasiswa celik kesenian dan kebudayaan yang bersifat antarabangsa.

“Semoga pada masa akan datang akan ada pihak di luar sana memberikan sumbangan dana kepada penggiat seni kampus seperti kami dalam usaha merakyatkan seni budaya kepada masyarakat,” katanya.

Program yang julung kali diadakan itu merupakan projek besar yang dianjurkan oleh pelajar daripada Urusetia Artisukma dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UKM.ukmnewsportal-bm
02

03

04

05

06