Pelajar FSSK Johan Maxis Stars of What’s Next


Oleh Asmahanim Amir
Foto Muhammad Amiruddin Ismail

BANGI, 24 September 2018 – Muhammad Amiruddin Ismail dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dinobatkan sebagai Johan dalam pertandingan Maxis Stars of What’s Next yang diadakan baru-baru ini.

Dalam pertandingan itu, beliau telah mengalahkan 10 finalis lain dari Univeristi Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Tenaga Nasional, Monash Universiti, HELP University, Universiti Teknologi Mara dan Brickfields Asia College.

Muhammad Amiruddin berkata, beliau mengetahui tentang pertandingan itu semasa beliau menjalani latihan industri di syarikat tersebut (Maxis).

“Saya terdorong untuk menyertai pertandingan ini kerana sebelum ini saya banyak terlibat dalam pelbagai program dan berjaya, tetapi tidak pernah mendapat pengiktirafan jadi, saya mahu iktiraf diri saya sendiri melalui pertandingan ini.

“Alhamdulillah, usaha saya tidak sia-sia apabila saya diumumkan sebagai Johan dalam pertandingan ini,” katanya.

Muhammad Amiruddin Ismail pelajar tahun tiga Pengajian Bahasa Inggeris adalah Ketua Program Permata Interact, iaitu sebuah pertubuhan sukarelawan bagi membantu pelajar sekolah di bandar untuk belajar Bahasa Inggeris secara interaktif.

“Program Permata Interact ini adalah di bawah seliaan Program Permata dan disokong oleh 1M4U, British Council dan Machines. Saya juga dibantu oleh sukarelawan yang kebanyakan terdiri daripada pelajar jurusan Bahasa Inggeris serta guru-guru dalam latihan.

Sehingga kini lebih 40 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dari pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi dan lebih 400 belia telah terimpak daripada program ini selama lebih 3 tahun,” katanya.

Muhammad Amiruddin yang turut cemerlang dalam pelajaran dengan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sebanyak 3.84 memberitahu bahawa sekarang ini beliau sedang membangunkan start-up beliau sendiri dalam bidang fintech.

“Sekiranya berjaya, start-up saya akan menjadi fokus utama selepas tamat pengajian. Saya mahu menjadi seorang yang lebih berjaya, hebat, kaya, terkenal, berkuasa dan berpengaruh, supaya saya berupaya membantu lebih ramai orang,” katanya.