Pelajar Kazakhstan Kagum Dengan Malaysia

050515_kazastan_01Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 29 April 2015 – Kemesraan rakyat Malaysia dan perairan  tropika negara yang indah telah mengkagumi empat pelajar Kazakhstan yang mengambil bahagian dalam program pertukaran pelajar selama satu semester di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mereka yang kesemuanya mengambil kursus Sarjana Muda Bahasa Inggeris di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan tertarik dengan budaya dan tradisi Malaysia apabila menjelajah negara dan menikmati gaya hidup orang tempatan.

Ketika ditemuramah Portal Berita UKM pada Forum Hari Mobiliti dan pameran anjuran Pusat Hubungan Antarabangsa (PHA) UKM di sini hari ini, mereka menceritakan betapa seronok merantau sekitar Malaysia dan melawat  institusi tertentu seperti Bank Negara dan pelbagai muzium di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Namun demikian, makanan  tempatan merupakan satu-satunya perkara yang mereka perlu berhati-hati dan mereka merindukan santapan tradisional  Kazakhstan.

Aidana Duisenbi, 20 tahun, dari Almaty, berkata Malaysia merupakan negara yang selamat dan beliau tidak perlu khuatir apabila bersiar-siar.

“Kami dapat bantuan jika sesat berjalan. Orang tempatan membantu menunjukkan jalan. Tiada masalah apabila berjalan ke tempat yang kurang diketahui.

“Kami dibawa melawat Pulau Perhentian selama lima hari. Walaupun ia indah dan saya menyelam ke dalam air untuk melihat ikan-ikan tropika saya tidak suka cuaca panas terik,” kata Aidana, yang kedua-dua ibu bapanya kakitangan awam yang bersara.

Kazakhstan adalah sebuah negara Asia Tengah yang menduduki kedua-dua benua Asia dan Eropah. Ia dikelilingi oleh Rusia di utara dan barat, China, Kyrgyzstan dan Uzbekistan di timur dan Laut Caspian ke barat daya.

Walaupun Aidana tidak gemar makanan pedas, ada hidangan tempatan yang beliau minati.

“Saya suka nasi goreng ayam, tetapi saya perlu minta supaya kurangkan cili,” katanya tersipu-supu.

Seperti rakan-rakanya, Aidana seorang pelajar di Kazakh University of International Relations and World Languages (UIRWA) di Almaty. Beliau  berikhtiar menjadi seorang jurubahasa apabila tamat pengajian. Beliau mempunyai tiga adik perempuan dan seorang abang yang kini seorang kakitangan awam.

Seperti rakan-rakanya yang lain, ini kali pertama Aidana hidup luar negara.

Gulnar Bakytzhanova, juga 20 tahun, berkata beliau tidak merasa sebagai warga asing di Malaysia.

“Orang tempatan ramah dan bersopan santun. Ada kalanya mereka sangka  kami orang Malaysia, dan ada yang anggap rakyat China atau Jepun,” katanya sambil senyum lebar.

Gulnar suka makan nasi goreng dengan sirap bandung, tetapi apabila inginkan makanan negaranya, beliau dan rakan-rakan pergi ke Seri Petaling, Kuala Lumpur untuk menjamu selera di restoran Astana.

“Kami rindukan Beshparmak, iaitu pasta dengan daging lembu. Orang Kazakh kurang makan nasi, tetapi kita dapat ubahsuai dengan suasana tempatan,” katanya.

Mengenai pengajian di UKM, kursus Bahasa Inggeris di FSSK agak menyeluruh dan lengkap. Gulnar, seperti rakan-rakannya, mengikuti kursus tahun ke-3 dan akan sambung ke tahun akhir apabila kembali ke UIRWA selepas tamat di UKM pada bulan Julai.

“Saya ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan lepas itu berkhidmat sebagai pengajar di Maktab Perguruan, atau pensyarah universiti.

“Saya ingin menimba ilmu di luar negara sebelum mula bekerja. Saya minati menyertai program pertukaran pelajar,” tambah beliau.

Aizada Tabyldiyeva, 19 tahun, yang  agak berlainan daripada kawan-kawannya kerana beliau sukakan cuaca panas.

Beliau yang datang dari bandar Aktau, berkata cuaca Malaysia sekarang seperti musim panas di Kazakhstan.

“Saya sukakan musim panas, seperti bulan Jun, Julai, Ogos di Kazakhstan. Bagaimanapun hujan lebat hari-hari pukul 5 petang (di Malaysia) saya tidak suka,” katanya.

Aizada juga hairan bagaimana ada masalah kekurangan air di kampus sedangkan hari-hari hujan.

Beliau ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Bahasa Inggeris di Poland atau republik Czech. Selepas itu, beliau ingin menjadi pensyarah.

Aiganym Nurmakhan merupakan pelajar yang paling senior di kalangan mereka. Aiganym yang berusia 22 tahun,  berikhtiar menjadi guru  Bahasa Inggeris.

Aiganym merancang melanjutkan pendidikan untuk ijazah Sarjana di Australia.

Beliau amat kagum dengan suasana alam sekitar di Malaysia.

“Saya rasa nyaman dalam alam sekitar hijau seperti ini. Walaubagaimanapun saya tidak suka panas.

“Di sini, berjalan di luar pun boleh berpeluh. Di Kazakhstan, kerana ia adalah gersang, anda kurang berpeluh,” katanya.

Lawatan yang paling menarik bagi beliau adalah ke Pulau Perhentian di mana buat kali pertama mereka naik kapal laut dan menyelam dalam air yang jernih.

ukmnewsportal-bm