Pelajar Perlu Tahu Tentang Kerjaya Masa Depan Sejak di Tahun Satu – Naib Canselor UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 31 Januari 2017 – Pelajar perlu mengetahui tentang kerjaya yang bakal mereka ceburi sejak mereka berada ditahun satu lagi, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata mereka tidak perlu menunggu sehingga berada di tahun akhir untuk mendapat maklumat tentang kerjaya.

“Sepatutnya semasa mereka (pelajar) mula mendaftar di UKM lagi mereka harus bersedia dan memahami keperluan-keperluan kerjaya yang bakal mereka ceburi kerana mereka sudah tahu tentang kursus yang bakal mereka ikuti,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pejabat Pusat Pembangunan Karier (UKM-Karier) di sini baru-baru ini.

Beliau berkata bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam mendapatkan maklumat kerjaya, pelbagai program telah dibuat oleh pihak universiti.

“Saya terima hakikat bahawa cabaran seterusnya ialah untuk menyedarkan pelajar-pelajar bahawa persediaan untuk ke alam kerjaya adalah penting disamping mereka hadir ke kelas dan melakukan aktiviti kokurikulum.

“Jadi, dengan adanya Pejabat UKM-Karier yang baru dan serba moden ini, inshaAllah ia akan menarik minat ramai pelajar untuk datang ke sini dan berjumpa dengan kaunselor bagi membincangkan hal-hal berkaitan kerjaya,” katanya.

Prof Noor Azlan berkata fakulti dan ahli-ahli akademik perlu memastikan bahawa maklumat ini sampai kepada pelajar kerana persediaan ke alam pekerjaan adalah sesuatu yang penting.

“Selain dari memohon kerja, kita juga perlu menekankan kepada mereka bahawa bidang keusahawanan juga adalah salah satu cabang membina kerjaya.

Pejabat UKM-Karier yang baharu telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Ibrahim Saad.