Pelajar UKM Rangkul Naib Johan Tilawah Universiti ASEAN


Oleh Melissa Heidi
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 26 April 2017 – Kelunakan suara mendendangkan Surah Al-Ahzab ayat 21 dengan tajwid dan taranum yang betul telah membawa Nur Farhan Fiffy Hanipah merangkul Naib Johan dalam pertandingan Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2017 kategori Tilawah al-Quran baru-baru ini.

Nur Farhan Fiffy yang merupakan pelajar tahun satu Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata beliau mula mendekati bidang tilawah ini sejak dibangku sekolah lagi dan pernah menghadiri ujibakat Akademi Al-Quran anjuran TV9.

“Saya bersyukur kerana UKM telah membuka peluang kepada saya mengembangkan bakat ini hingga ke peringkat ASEAN,” katanya.

Beliau berkata untuk pertandingan itu, beliau melakukan latihan berkala bagi memantapkan ketujuh-tujuh lagu taranum untuk semua surah yang diberikan.

“Saya mengambil masa tiga minggu untuk memantapkan tajwid dan taranum, selain daripada penjagaan suara,” ujarnya.

Dalam pertandingan yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia dengan tema Wasatiyyah Asas Transformasi Belia, sebanyak 11 universiti dari Malaysia, tujuh universiti dari Indonesia dan satu universiti dari Brunei telah mengambil bahagian.

Sementara itu, seorang lagi pelajar FPI dari Jabatan Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Nur Azam Mohd Shukor yang menyertai pertandingan itu bagi kategori Debat Bahasa Arab telah dinobatkan sebagai 10 pendebat terbaik Bahasa Arab Universiti ASEAN.

Katanya sebagai seorang pendebat, beliau perlu peka dengan segala isu-isu semasa.

“Sebagai contoh, jika wujudnya perdebatan tentang ekonomi, maka informasi umum ekonomi negara ASEAN seperti Singapura, Brunei dan negara-negara ASEAN lain sangat penting untuk dikaji dari segi pencarian maklumat,” ujarnya.