Pemimpin Perlu Contohi Cara Pengurusan Korporat, Kata Menteri Besar NS

MBOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 7 Mei 2015 – Pemimpun-pemimpin  perlu menyerap nilai-nilai pengurusan korporat untuk meningkatkan prestasi kerajaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Mohamad Hasan berkata kepimpinan yang lebih berkesan diperlukan untuk membolehkan transformasi kerajaan menjadi hakikat.

Kerajaan mesti anggap perbelanjaan sebagai satu pelaburan walaupun ia tidak mempunyai agenda untung rugi untuk mengimbangi bajet, Mohamad berkata demikian pada forum bertajuk Pemimpin 360 darjah, yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Siswazah (GSB UKM) Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Setiap RM1 yang dibelanjakan, anggap ia sebagai satu pelaburan. Pelaburan mestilah menghasilkan pulangan yang baik, kerana wang itu datang daripada orang ramai. Jika wang itu akan dibelanjakan, cara ia digunakan mestilah difikirkan dengan teliti kerana ia adalah pelaburan menggunakan wang rakyat. Anda mesti berfikir masak-masak sebelum membelanjakan wang rakyat dan buat perbandingan dengan pelaburan lain yang berpotensi.

“Jangan membelanjakan wang rakyat secara buta tuli. Ia mesti diuruskan dengan sebaik mungkin,” kata Mohamad, yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat sebelum menceburi diri dalam politik.

Beliau berkata pemimpin yang berkesan diperlukan untuk membuat kerajaan lebih bertanggungjawab.

“Apabila saya menjadi Menteri Besar (Negeri Sembilan pada tahun 2004) bajet negeri defisit RM50 juta. Saya terpaksa meminjam daripada kerajaan pusat untuk  membayar gaji kakitangan awam. Alhamdulillah, sekarang kita mempunyai rizab sebanyak RM 500 juta, dengan hutang yang susut ke RM236 juta daripada RM2.4 bilion.

“Anda boleh meraih untung dengan melabur dalam hartanah di Negeri Sembilan,” katanya.

Apabila ditanya oleh salah seorang moderator apakah rahsianya untuk kepimpinan yang berkesan, beliau menjawab seseorang itu perlu mempunyai kebijaksanaan, atau petua, kerana ilmu dengan sendirinya tidak memadai.

“Lakukan hanya apa yang anda tahu, bukan apa yang anda mahu. Punca kejatuhan banyak syarikat bumiputera ialah mereka cuba menceburi terlalu banyak bidang perniagaan yang mereka kurang arif,” beliau menasihatkan pelajar pasca siswazah yang menghadiri forum itu.

Mohamad bagaimanapun mengakui bahawa beliau bukan seorang pemimpin yang senang bekerja dengan orang bawahan kerana beliau menguruskan kerajaan seperti perniagaan.

“Sejak saya menjadi MB, lima Setiausaha Kerajaan Negeri berkhidmat,” katanya.

Beliau  mahu mengubah sikap penjawat awam yang biasa dengan corak kerja sambil lewa,  kepada yang lebih proaktif secara  menawarkan perkhidmatan.

Tugas mereka bukan setakat menunggu orang ramai datang kepada kerajaan untuk meminta bantuan atau perkhidmatan, tetapi pegawai-pegawai turun ke padang untuk mencari orang yang memerlukan bantuan.

“Ramai orang terlalu lemah atau terlalu miskin untuk datang kepada kami bagi mendapatkan bantuan. Kita perlu mencari orang-orang ini kerana mereka tidak boleh datang kepada kami.

“Sekarang kita tidak boleh lagi pakai sikap leka ‘ikut suka kau’ jika perkhidmatan kurang memuaskan,” beliau jelaskan.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai kerajaan perlu mendapati keyakinan rakyat, tetapi jangan membuat janji-janji yang  tidak boleh dikotakan hinggakan menyebabkan orang ramai keciwa dengan  kerajaan.

Menjawab satu lagi soalan mengenai kepimpinan yang berkesan, beliau mengingatkan bakal pemimpin muda supaya mengelakkan daripada amalan pilih kasih.

“Kita mungkin menjadi terlalu rapat dengan suku sakat tetapi rakyat kurang senang dengan keadaan ini. Jika kita mahu orang menghormati kita, kita harus menghormati mereka,” tegas beliau.

Beliau juga menggesa pemimpin-pemimpin supaya lebih prihatian kepada keperluan remaja , kerana mereka juga berhak bersuara mengenai cara kerajaan layani mereka.

Beliau menambah bahawa ramai orang muda hari ini kurang puas hati kerana kekurangan kemudahan sukan.