Penerima Anugerah Naib Canselor Sanggup Bekerja di Luar Bidang

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 5 November 2015 – Koh Lily yang merupakan penerima Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-43 ingin mencuba bekerja di luar bidang pengajiannya.

Beliau yang merupakan graduan dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina tidak meletakkan syarat dalam memilih bidang pekerjaan kerana baginya apa sahaja yang datang dulu adalah rezekinya.

“Lepas habis belajar nanti (Sarjana) saya akan bekerja dalam apa sahaja bidang yang mencabar, tak semestinya bidang kejuruteraan.

“Saya pernah bekerja di CIMB Investment Bank melalui skim Complete Banker’s Programme sebelum saya melanjutkan pengajian Sarjana,” katanya, yang kini sedang melanjutkan pengajian diperingkat Ijazah Sarjana dalam bidang Industrial System Manufacture and Management di University of Cambridge sejak bulan Oktober.

Katanya sepanjang empat tahun melanjutkan pengajian di UKM, beliau tidak hanya memberi tumpuan kepada buku pelajaran semata-mata sebaliknya turut menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum.

“Stereotaip tentang ulat buku dah tak boleh dipakai sekarang ini kerana bagi saya apa yang penting adalah komunikasi,” ujar beliau, yang merupakan seorang pendebat di UKM.

Lily berkata beliau memilih UKM untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjanamuda kerana universiti ini tidak hanya menumpukan kepada bidang pengajian semata-mata sebaliknya pelajar dapat belajar menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum dan dapat mempelajari banyak bahasa bagi meningkatkan nilai tambah dalam diri.

Beliau menamatkan pengajian Ijazah Sarjanamuda Kejuruteraan Mekanikal dengan PNGK 3.74.

Sementara itu, graduan yang menerima Anugerah Tun Abdul Razak, Nur Yasmin Khairani Zakaria berkata beliau terpaksa menutup akaun media sosial bagi menumpukan perhatian kepada pelajaran setiap kali beliau sibuk dengan peperiksaan.

“Saya merupakan seorang yang addicted dengan media social. Jadi saya perlu menutup semua akan media social saya setiap kali musim peperiksaan dan juga ketika saya sibuk dengan tugasan. Apabila saya menerima anugerah ini, saya rasakan apa yang saya lakukan itu adalah berbaloi,” katanya yang merupakan graduan Ijazah Sarjanamuda Pendidikan (TESL).

Katanya beliau meletakkan akademik pada kedudukan yang atas dan kokurikulum pada kedudukan kedua.

“Saya tidak kata kokurikulum tidak penting kerana saya juga merupakan pelajar yang aktif dalam kokurikulum, cuma jangan ponteng kelas kerana kokurikum tapi boleh ponteng kokurikulum untuk pergi ke kelas,” katanya yang menamatkan pengajian dengan PNGK 3.71.

Kini, anak pasangan bekas guru dari Kelantan ini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana TESL di UKM.ukmnewsportal-bm
02