Pengarah HADHARI terima Anugerah Khas the World Renewable Energy Network


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 22 Mac 2017 – Pengarah Institut Islam Hadhari UKM, Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Othman telah menerima Anugerah the World Renewable Energy Network yang diadakan di Bahrain baru-baru ini.

Anugerah yang diterimanya baru-baru ini adalah penghargaan daripada World Renewable Energy Ke-17 atas sumbangan beliau selama lebih daripada 30 tahun dalam inovasi teknologi pembaharuan tenaga solar.

Prof Dato’ Dr Mohd Yusof berkata beliau menganggap anugerah yang diterimanya itu adalah penghargaan daripada pihak antarabangsa terhadap sumbangan dan perkhidmatannya dalam bidang tenaga suria sejak lebih 30 tahun lepas.

“Saya bermula dengan membuat penyelidikan tentang tenaga suria pada tahu 1984 selepas tamat belajar PhD dengan geran bernilai RM2,700.

“Pada masa itu saya mula terfikir untuk melakukan penyelidikan bagaimana hasil-hasil pertanian seperti padi, koko, getah, ikan bilis, lada, pisang tembakau, teh dan lain-lain dikeringkan,” katanya sambil memberitahu bahawa hasil penyelidikanya telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beliau berkata bermula dengan penyelidikan itu, beliau telah membuat pembentangan tentang hasil penyelidikannya di sebuah persidangan di Jepun.

“Di persidangan tersebut, saya berjumpa dengan seorang professor warganegara England dari University of Reading yang sangat disegani dan mempunyai ramai pengikut setiap kali memberi ucap tama dipersidangan-persidangan antarabangsa.

Pada pertemuan itu, katanya beliau telah menjemput Profesor tersebut untuk memberi taklimat di UKM tentang How to Become a Professor.

“Pada tahun 1990, beliau telah menganjurkan International Solar Energy Seminar dan saya telah membentang kertas penyelidikan di sana.

“Dua tahun kemudian dia menjemput saya khas ke seminar yang sama dan saya merupakan peserta tunggal dari negara Asia Selatan.

“Bermula dari situ saya dilantik menjadi ahli majlis seminar hingga hari ini dan pada tahun 1994 mereka telah memberi anugerah perintis tenaga solar kepada saya dan selepas itu saya menerima beberapa anugerah berkaitan dengan tenaga solar,” jelasnya.

Tambahnya, walaupun sekarang ini beliau adalah Pengarah Institut Islam Hadhari, beliau masih aktif dalam bidang sains dan beliau turut memberitahu bahawa Islam dan sains tidak boleh dipisahkan.

Prof Dato’ Dr Mohd Yusof turut mengingatkan pensyarah dan penyelidik muda agar mempunyai lima ciri jika mahu menjadi ahli akademik yang berkualiti.

“Lima ciri itu ialah mengajar, membuat penyelidikan, bekerja bukan kerana mengejar pangkat, membina tamadun insan dan membina jati diri bangsa dan negara,” katanya.

Sepanjang lebih 30 tahun beliau dalam bidang akademik, Prof Dato’ Dr Mohd Yusof telah menerima lebih 15 anugerah antarabangsa dan lebih 30 anugerah di peringkat nasional.

Katanya, anugerah-anugerah itu bukan sahaja diberikan melalui kepakarannya dalam bidang fizik, tetapi turut meliputi sumbangan dan perkhidmatannya dalam bidang Islam Hadhari.