Penggunaan Tenaga Nuklear Dijangka Meningkat Walaupun Harga Minyak Rendah Sekarang

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Pix Abd Ra’ai Osman

 BANGI, 1 Mac 2016 – Penggunaan kuasa nuklear akan meningkat semula walaupun harga semasa bahan api fosil sangat rendah dan ekonomi dunia meleset, kata John Yoshinari, Ketua Pegawai Operasi, Hitachi-GE Nuclear Energy di Japan.

Yoshinari akui bahawa buat masa ini, konsep tenaga kurang diterima pakai  kerana minyak semakin murah.

Menurut beliau, kerajaan dan agensi-agensi yang telah mula menunjukkan minat terhadap tenaga atom kini menangguhkan rancangan mereka – mungkin dalam jangka pendek – dan lebih melabur dalam bahan api fosil.

“Kami menghadapi cabaran baru, kerana minyak sangat murah. gas konvensional, gas arang batu, gas syal murah, dan nuklear tidak boleh bersaing,” katanya kepada para jurutera tempatan di kursus kejuruteraan nuklear di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditaja oleh Tokyo Tech dan Hitachi-GE, di sini semalam.

Apatah lagi negara-negara pengeluar minyak tidak mengurangkan pengeluaran  walaupun Iran memasuki pasaran ketika harga menurun, menyebabkan bekalan berlebihan.

Tambahan pula, negara-negara yang sangsi terhadap tenaga nuklear sejak bencana nuklear Fukushima pada Mac tahun 2011, ingin mengguna pakai Teknologi Smart Grid yang mengintegrasikan sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga angin dan tenaga solar ke dalam grid tenaga konvensional.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kerajaan di seluruh dunia juga berminat untuk mengelakkan kesan buruk akibat pemanasan global yang disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil.

“Turki dan Vietnam meneruskan rancangan pengenalan nuklear yang sedia ada selari dengan kebimbangan yang memuncak untuk meningkatkan keselamatan. Jerman dan Itali mahu kembali kepada berkuasa nuklear apabila ekonomi dunia bertambah baik dan pemanasan global semakin menjadi isu hangat, ” katanya.

Beliau menegaskan bahawa trend mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan pemanasan global sedang diterima pakai oleh lebih banyak kerajaan.

“Jika kita tidak menerima tenaga nuklear, kita tidak boleh menangani pemanasan global,” katanya.

Ditanya sama ada minyak akan digantikan dengan sumber-sumber lain, beliau meramalkan pergantungan terhadap bahan api fosil pada tahun 2035 akan turun kepada 30%, berbanding dengan 90% masa kini, yang merupakan satu rekod.

Tambah beliau dunia sedang beralih kepada penggunaan lebih banyak sumber tenaga nuklear dan lestari.ukmnewsportal-bm

02