Daesh Guna Media Sosial Sebar Propaganda

1
Oleh Engku Shariful Azni
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 5 April 2016 – Kombinasi penggunaan media sosial yang licik oleh kumpulan pelampau Daesh, dan kekurangan pengetahuan di kalangan wartawan Barat mengenai Islam telah mewujudkan suatu interpretasi yang kurang tepat tentang perang di Syria dan Iraq, kata Dr Oliver Hahn, seorang Profesor Kewartawanan di Universiti Passau, Jerman.

Daesh telah memutarbelit maklumat dan mengeksploitasi keupayaan media sosial untuk menjual ideologi militan mereka, kata Dr Hahn dalam syarahan bertajuk  Propaganda Islam dan Jihad Internet: Strategi Media Sosial dan Gaya Hollywood Mensasarkan Remaja Global di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Beliau berkata mereka menggunakan simbol untuk menyebarkan dakyah melalui media seperti simbol ‘ibu jari’ atau ‘like‘ yang digunakan sebagai konotasi bagi ‘satu tuhan’ dalam ruangan komen di Facebook atau gambar yang dimuat naik di laman sosial, dan juga gambar-gambar kucing, haiwan kesayangan Nabi Muhammad.

“Penggunaan media sosial dalam menerapkan fahaman Daesh berupaya menarik orang Eropah, termasuk warga Jerman, yang mana sekurang-kurangnya 5% daripada penduduknya mempunyai latar belakang Islam walaupun tidak semua mengamalkan ajarannya,” kata Dr Hahn.

Penyebaran fahaman kumpulan Daesh semakin menular apabila wujud segelintir agensi berita barat yang memaparkan laporan berita yang mengelirukan kerana tidak memahami sepenuhnya makna sebenar Islam.

Dr Hahn, yang fasih berbahasa Arab, adalah bekas wartawan yang berpengalaman dalam pelbagai syarikat media antarabangsa, termasuk Euronews dan memberi ceramah dalam bidang kewartawanan, sfera awam Eropah, media Arab, konflik, krisis dan laporan peperangan dan risiko komunikasi.ukmnewsportal-bm
2

3