Profesion Sains Kesihatan Akan Dikawal Selia

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

SERDANG, 11 Ogos 2015 – Pakar-pakar dalam bidang Sains Kesihatan akan didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan seperti mana pengamal lain dalam profesion perubatan.

Kementerian Kesihatan bercadang untuk menguatkuasakan kawalan peraturan terhadap bidang Sains Kesihatan dengan pembentangan Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu yang kini dalam bacaan kedua di Dewan Rakyat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Peranan Sains Kesihatan semakin penting kerana negara ini mengalami fenomena Perubahan Iklim yang menyebabkan kesan-kesan yang mencabar kesejahteraan awam seperti penyakit berjangkit, kata beliau ketika merasmikan Simposium Antarabangsa Sains Kesihatan, atau I-Sihat 2015 di sini hari ini, yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Kesihatan  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan rakan-rakan di sektor swasta.

“Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu kini dalam peringkat akhir dirangka yang bertujuan mendaftar dan mengawal amalan profesional dalam bidang ini,” kata Dr Subramaniam.

Beliau menjelaskan bahawa akta yang baru, apabila dikuatkuasakan, akan membenarkan pemantauan kualiti perkhidmatan kesihatan bersekutu di negara ini.

Keselamatan pesakit yang menerima rawatan juga akan dijamin, kata Dr Subramaniam, sambil menambah bahawa akta tersebut akan dapat mencegah individu yang tidak layak daripada menipu pesakit-pesakit dengan menyamar sebagai pengamal kesihatan bersekutu.

Menurut menteri, terdapat 23 kategori profesion sains kesihatan  bersekutu di bawah Kementerian Kesihatan yang merangkumi tiga teras utama iaitu klinikal, kesihatan dan perkhidmatan makmal umum.

Beliau berkata khidmat doktor perubatan dan pengamal sains kesihatan semakin diperlukan untuk memerangi demam Denggi, terutamanya negara di rantau ini yang mempunyai iklim lebih lembap dan panas akibat Perubahan Iklim dan Pemanasan Global.

Dalam masa 15 tahun akan datang, beliau berkata, iklim dunia  mungkin berubah secara mendadak.

“Jika kita tidak bertindak sekarang, menjelang tahun 2030 adalah terlalu suntuk masa untuk menangani masalah tersebut. Kita semua perlu bersatu menyelamatkan keadaan,” jelas beliau.

Menteri itu seterusnya menjelaskan bahawa Malaysia menyokong penubuhan sebuah jawatankuasa teknikal mengenai Denggi di persidangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan datang.

” Masa terlalu suntuk. Kita tidak boleh menunggu negara-negara Barat untuk melakukan sesuatu. Mereka tidak berminat kerana demam Denggi bukan keutamaan bagi negara-negara maju,” katanya.

Terdahulu itu dalam kata-kata aluannya, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar menegaskan bahawa Fakulti Sains Kesihatan mengambil bahagian dalam projek komuniti bersama dua syarikat untuk membendung wabak Denggi sejak bulan Julai.

Prof Mazlin berkata UKM membantu penduduk-penduduk beberapa kawasan memerangi Denggi dengan mengedarkan dan mengajar penduduk untuk menggunakan kit baru Pencegahan Denggi di tiga buah negeri yang mencatatkan jumlah tertinggi kes tahun ini.

Beliau berkata fakulti tersebut menubuhkan pasukan bebas Denggi yang terdiri daripada 100 orang sukarelawan yang telah dihantar ke kawasan-kawasan perumahan yang berisiko tinggi dengan bantuan daripada majlis-majlis tempatan dan yang telah dilatih untuk menggunakan kit untuk memerangi wabak tersebut.

Selain Malaysia, penyelidik dari United Kingdom dan Australia mengambil bahagian dalam mesyuarat dua hari I-Sihat ini, yang turut disertai ahli akademik dan profesional seperti pakar-pakar audiologi, ahli-ahli sains bioperubatan, pakar dietetik, serta ahli-ahli sains kesihatan persekitaran dan pemakanan, dan sebagainya.ukmnewsportal-bm
2

3