Saintis UKM Temui Kilat di atas Permukaan Bumi Antartika


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 12 Mei 2017 – Saintis Institut Perubahan Iklim (IPI),  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Wayan Suparta yang menjalankan kajian perubahan iklim di Antartika telah menemui serangan kilat di atas permukaan bumi bersalji itu.

Dr Wayan berkata kilat itu ditemui selepas beliau memasang sensor kilat dan Electric Field Mill (EMF) di Base Carlini untuk mengukur serangan kilat dan kekuatan medan elektrik di atmosfera berhampiran awan ribut petir benua tersebut.

“Sensor yang dipasang itu sekaligus berfungsi menguji hipotesis yang menyatakan bahawa tiada kilat di Antartika.

“Berdasarkan kajian sepanjang saya berada di sana, saya mendapati bahawa serangan kilat dikesan oleh EFM-100 di atas permukaan bumi (16 ~ 20km).

“Ini merupakan penemuan pertama di Antartika, bahawa kilat telah dikesan di Semenanjung Antartika, dan ia menyangkal hipotesis klasik bahawa tidak ada kilat di Antartika,” jelasnya selepas Majlis Syarahan Perdana bertajuk Report on Scientific Antarctic Expedition During the 2016/2017 Summer Campaign, baru-baru ini.

Beliau telah berangkat ke Antartika pada 16 Januari hingga 28 Februari 2017.

Katanya semua sistem dipasang secara solo di Base Carlini dan ditinggalkan selama setahun untuk mengumpul data.

“Pengukuran parameter kilat secara langsung di Antartika dan ketersediaan data adalah terhad. Pemerhatian ribut petir akan menambah baik model ramalan cuaca yang sedia ada.

“Kajian perubahan iklim dalam jangka panjang ini adalah amat penting kerana ia akan merungkai bagaimana gandingan jauh (tele-connection) antara Kutub dan Tropika dapat direalisasikan untuk kehidupan mampan,” terangnya.

Dr Wayan memberitahu bahawa tidak mustahil 50 tahun akan datang bumi Antartika akan dihuni oleh manusia kerana pada masa sekarang Antartika telah ditumbuhi rumput.

Katanya hampir sebulan beliau di antartika, beliau telah menemui beberapa jenis hidupan iaitu burung skua, penguin dan anjing laut.

Beliau berkata bumi Antartika adalah makmal kajian sains dan telah menjadi rebutan kuasa dunia serta pengkaji.

“Jadi, saya berharap kita (Malaysia) dapat pertahan dan perluaskan kajian lain dan jika perlu, Malaysia perlu memikirkan untuk membangun pangkalan sendiri untuk penyelidik yang ingin menjadi saintis berkelas dunia dan menyumbang kepada negara,” katanya mengakhiri perbualan.