Seorang Angkasawati Untuk Misi Kedua Malaysia ?

004
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto  Shahiddan Saidi

BANGI, 3 November 2015 – Seorang wanita mungkin dipilih untuk dihantar ke  Angkasa Lepas dalam misi kedua Malaysia.

Kerajaan sedang merancang menghantar rakyat Malaysia yang kedua  ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) untuk menjalankan penyelidikan saintifik selepas tahun 2016, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah.

Abu Bakar tidak menolak kemungkinan ketika ditanya sama ada angkasawan yang kedua seorang wanita.

Beliau berkata percubaan kedua akan dibuat berdasarkan kajian semula program asal dengan syarat-syarat dan keperluan pemilihan yang berbeza daripada program pertama.

“Kementerian sedang berunding dengan ahli-ahli sains, ahli akademik, para penyelidik termasuk Pusat Sains Angkasa UKM mengenai program baru kerana ia akan terdiri daripada pelbagai bidang penyelidikan yang beza dari misi pertama,” katanya selepas merasmikan Karnival Angkasa anjuran Pusat Sains Angkasa (ANGKASA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 30 Oktober di Seremban, Negeri Sembilan.

 “Kita perlu untuk mewajarkan program kedua kerana ia akan menjadi lebih rumit, berdasarkan kejayaan program angkasawan pertama. Jadi, ia bermakna bahawa misi perlu berbeza. Cadangan program tersebut mesti dikemukakan sebelum penghujung tahun depan.

“Program ini perlu disemak semula juga kerana kali ini kita perlu menanggung sepenuhnya kos untuk angkasawan. Kali kedua ini tiada lagi   ‘offset’ sepertimana yang pertama dengan Sheikh Muszaphar yang sebahagiannya dibiayai kos melalui perdagangan dengan kerajaan Rusia,” jelas beliau.

Ketika ditanya pemberita sama ada angkasawan pengganti dari misi pertama Dr Faiz Khaleed akan menjadi calon untuk misi baru, beliau menjawab Dr Faiz  perlu melalui proses pemilihan sekali lagi dengan kumpulan calon-calon baharu.

Mengenai karnival angkasa tersebut, beliau berkata ia adalah sempena ulang tahun ke-8 misi pertama yang mana Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie Sheikh Mustapha pergi ke ISS pada tahun 2007.

“Kita berharap untuk mendapatkan lebih ramai anak-anak muda yang berminat dalam bidang sains dan teknologi, jadi kami dapat khidmat  Sheikh Muszaphar untuk memberi ceramah motivasi kepada murid-murid,” jelas beliau.

Turut hadir di majlis tersebut Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hj Hasan Malek dan pengerusi jawatankuasa bertindak kemudahan awam negeri, alam sekitar, koperasi dan kepenggunaan Datuk Abu Ubaidah Redza.ukmnewsportal-bm

001

002