Siswa PALAPES Mempunyai Kelebihan

ROTU Members Have An Advantage Over Other StudentsOleh Raai Osman
Foto Raai Osman

BANGI, 18 Februari 2015 – Mahasiswa universiti yang menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) mempunyai kelebihan berbanding pelajar lain kerana pengalaman ketenteraan membolehkan mereka cemerlang di mana saja.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berbangga dengan pencapaian pelajar demikian ketika melawat khemah latihan Palapes UKM-USIM di Mempaga, Bentong, Pahang baru-baru ini. Pasukan kadet itu sedang menjalani latihan tahunan mereka.

Beliau selaku Komandan PALAPES UKM, berkata penyertaan mereka di dalam pasukan kadet tentera itu adalah satu langkah bijak dan berfaedah kerana mereka telah menggunakan tempoh cuti panjang untuk mengikuti latihan lasak seperti perkhemahan tahunan itu.

Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM, Prof Dato’ Ir Dr Reza Atiq Abdullah OK Rahmat turut menyertai latihan itu bersama lebih 100 orang kadet selama enam hari pada penghujung bulan lalu.

Latihan asas, pertengahan dan lanjutan telah diadakan serentak bagi kadet mahasiswa dari pelbagai peringkat.

Mereka telah mengikuti pelbagai latihan di dalam hutan sekitar Mempaga termasuk latihan serang hendap oleh kadet peringkat pertengahan dan latihan membina kubu serta latihan pertahanan di Bukit Mempaga oleh kadet lanjutan.

Prof Noor Azlan berkata kadet yang mengikuti latihan itu mampu menjadi individu cemerlang dan ianya tidak boleh didapati di dalam bilik kuliah.

Beliau berharap mereka dapat berkongsi pengalaman latihan mereka itu dengan pelajar lain.

Kadet Mohd Akhmal Mohd Reza yakin dengan faedah latihan yang diterimanya menjadi anggota PALAPES selama tiga tahun. Beliau kini berada di peringkat lanjutan setelah menjalani pelbagai bentuk latihan.

“Memang waktu mula menyertai PALAPES wujud perasaan tidak tahan menghadapinya. Tetapi dengan ketabahan yang ada saya mampu meneruskannya hingga tamat,” tambah beliau.

Mohd Akhmal berkata latihan yang mereka terima mampu membentuk disiplin yang tinggi untuk membolehkan mereka meneruskan kehidupan sebagai pelajar di kampus.

Kadet wanita yang sedang mengikuti pengajian Al Quran dan Al Sunnah di Fakulti Pengajian Islam UKM, Norashikin Mohd Taib berkata penyertaannya dalam PALAPES telah berjaya membentuk peribadi berdisiplin dan mampu menepati waktu ketika mengikuti pengajian di kampus.

Kesan dari latihan dalam PALAPES membolehkan mereka mentaati arahan pensyarah untuk melaksanakan tugasan. Inilah kesan positif yang terbentuk dari latihan sebagai pegawai kadet, tambah beliau.

Latihan kadet peringkat asas meliputi ‘peperangan melawan gerila’, serang hendap musuh di dalam hutan serta mengikuti cara hidup tinggal dalam khemah di hutan selama lima hari.

Di peringkat pertengahan kadet dilatih berkawat dan berjalan kaki, serang hendap serta serangan balas terhadap musuh dan serangan ke bukit pertahanan musuh. Manakala di peringkat lanjutan mereka dilatih bagaimana membina kubu dan menyediakan perhubungan serta mempertahankan kubu ketika serangan dalam ‘peperangan terbuka’.

ukmnewsportal-bm