Tiga Bersaudara Kerabat Diraja Hadir Ke Majlis Konvokesyen UKM ke-44

2
Oleh Asmahanim Amir & Tengku Nursharina Tengku Amri
Foto Pusat komunikasi Korporat

BANGI, 6 November 2016 – Tiga Kerabat Diraja yang mempunyai pertalian yang rapat iaitu DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, YTM Tunku Panglima Besar Kedah Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan YAM Tunku Laxamana Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Tuanku Ja’afar berkenan berangkat ke Majlis konvokesyen UKM ke-44 hari ini.

DYMM Tuanku Muhriz adalah Canselor UKM manakala YTM Tunku Puteri Intan Safinaz dan YAM Tunku Naquiyuddin adalah Pro-Canselor UKM.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata majlis Konvokesyen UKM kali ini adalah sangat bersejarah kerana ketiga-tiga kerabat berkenan untuk berangkat ke majlis ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa sidang pertama majlis konvokesyen tersebut adalah Sidang Canselor yang akan meraikan graduan doktor falsafah, graduan sarjana cemerlang dan sarjana muda cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum.

“Sidang berprestij ini menjadi lambang kepada kejayaan graduan hasil dokongan dan pengorbanan ayah dan bonda serta keluarga tercinta,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen tersebut.

Pada konvokesyen kali ini, UKM menganugerahkan Ijazah Doktor kehormat kepada tiga tokoh negara yang telah memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan UKM dan negara.

UKM juga turut memberi gelaran Profesor Emeritus kepada enam orang mantan tenaga akademik yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan bidang masing-masing.

Konvokesyen UKM ke-44 menyaksikan seramai 6,385 graduan akan menerima ijazah masing-masing dengan menjadikan jumlah alumni UKM adalah seramai 182,375 orang yang bukan sahaja berada di seluruh Malaysia malah di seluruh dunia.

Dalam ucapan itu, Prof Noor Azlan turut menasihatkan para graduan supaya memanfaatkan segala ilmu yang telah dipelajari di UKM.

“UKM telah menyediakan ilmu dan kemahiran yang terbaik untuk anda memanfaatkan segala pembelajaran tersebut bagi membentuk kesejahteraan negara hari ini.

“Kami mendoakan anda akan menjadi alumni yang terus berjaya, berjasa, memelihara nama baik diri, ibu bapa, UKM dan negara,” katanya.ukmnewsportal-bm
1