Tokoh Perpaduan dan Masyarakat Terima Ijazah Kehormat UKM

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 9 November 2016 – Perpaduan dan deklarasi kaum  perlu diteruskan dan dijadikan agenda utama negara.

Demikian menurut Tan Sri Datuk Seri Panglima Lee Lam Thye, penerima Ijazah Kehormat UKM, sempena Majlis Konvokesyen Ke-44 UKM yang berlangsung hari 7 Nov lepas.

“Kita harus berbangga kerana pada hari ini kita telah mendapat persefahaman perpaduan sosial.

“Kita boleh berinteraksi antara satu sama lain melalui konsep kejiranan atau melalui media dalam menegakkan perpaduan kaum,” ujarnya.

Beliau berkata pendidikan adalah landasan yang begitu penting untuk mewujudkan perpaduan di Malaysia.

“I always believe that when we talk about the unity, it must begin from the school.

“Hal ini kerana  di sekolah kita dapat melihat pelajar-pelajarnya adalah terdiri daripada pelbagai kaum dan mereka belajar di bawah satu bumbung,” katanya.

Beliau yang ditemui media selepas majlis penganugerahan tersebut berkata Ijazah Kehormat yang diterima itu adalah sebagai penghormatan dan juga pengiktirafan terhadap pelbagai jenis khidmat masyarakat dalam menggalakkan integrasi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Saya rasa, dalam perjalanan untuk mencapai cita-cita saya, saya anggap apa yang paling penting adalah bagaimana saya seorang warganegara Malaysia dapat memainkan peranan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kita banggakan.

“Saya cukup sedar bahawa negara kita sekarang ini menghadapi pelbagai cabaran dan masalah, tetapi yang paling penting adalah bagaimana kita menyatukan perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.

Tan Sri Lee  Lam Thye menerima anugerah tersebut pada sidang empat, Majlis Konvokesyen UKM ke-44  yang telah disampaikan oleh Pro Canselor, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Anugerah tersebut diberikan sebagai mengiktiraf sumbangan dan perkhidmatan beliau sebagai aktivis perpaduan paling aktif di negara ini.ukmnewsportal-bm
2